BAGAN DALAM – Kementerian Kewangan memfokuskan dua aspek utama iaitu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat sebagai usaha ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dua aspek tersebut adalah penting dalam usaha merapatkan jurang pendapatan dan menambah baik kuasa beli dalam kalangan rakyat.
“Pada saya, aspek paling penting adalah mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang munasabah.
“Apabila kita sebut tentang penambahan gaji, dua aspek perlu dilihat iaitu menambahkan kuasa pembelian rakyat khususnya rakyat kurang berada.
“Ini juga dijangka memberi kesan positif, terutama dalam usaha kita untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di sini pagi tadi.
Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees;
Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asnayani Khalib juga turut hadir.
Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan bahawa bagi menggalakkan peluang pekerjaan, satu cadangan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, 11 Oktober ini.
“Memang ini adalah sesuatu yang akan diutamakan, ia bukan sahaja dapat merapatkan jurang sosial ekonomi, malah juga menambah pendapatan rakyat.
“Kesemua ini harus dikongsi dan dijana agar kemakmuran ini dirasai bersama sealiran dengan pertumbuhan pembangunan ekonomi negara.
“Kami juga sentiasa mengikut setiap syor yang ditetapkan supaya ekonomi negara bertambah baik, namun kita juga tidak boleh menolak bahawa faktor situasi di peringkat antarabangsa turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi kita,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD