Kempen agresif tarik pelancong ke Pulau Pinang kini dikenali “Jom! Experience Penang”

Admin
(Dari kiri) KHOO Boo Lim, Ooi Chok Yan, Yeoh Soon Hin dan Ch'ng Huck Theng dalam sidang media mempromosi kempen ‘Jom! Experience Penang’ di The Wembley St. Giles Hotel Penang di sini pada 29 Jun 2020.

GEORGE TOWN – Demi memulihkan kembali sektor pelancongan Pulau Pinang yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19 sejak kira-kira tiga bulan lepas, Kerajaan Negeri bersama-sama rakan strategik lain hari ini melancarkan kempen ‘Jom! Experience Penang’ secara agresif.

YEOH Soon Hin.

Mengulas lanjut, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin memberitahu bahawa agensi negeri, Penang Global Tourism (PGT) telahpun melancarkan laman web baharu – penangtraveldeals.com – yang sarat dengan maklumat mengenai tawaran serta diskaun istimewa bagi pakej penginapan hotel dan berkunjung ke destinasi menarik di negeri ini.

Justeru, katanya lagi, kempen tersebut memberi tumpuan untuk membawa seramai mungkin pelancong domestik dan warganegara berkunjung dan menginap di Pulau Pinang.

“Kita (Pulau Pinang) tidak pernah batalkan kempen tahunan ‘Experience Penang’ yang merupakan kempen jangka masa panjang untuk memulihkan sektor pelancongan domestik di negeri ini.

“Oleh kerana pintu (antarabangsa) masih ditutup untuk menarik pelancongan asing ke negeri ini, kita letakkan (perkataan) ‘Jom!’ pada menggalakkan lagi pelancong domestik ke menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama mereka.

“Secara progresif, kita menyusun rancangan pemulihan untuk mengaktifkan semula sektor pelancongan di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam sidang media mempromosi kempen ‘Jom! Experience Penang’ di The Wembley St. Giles Hotel Penang di sini pada 29 Jun 2020.

Sementara itu, Pengerusi Association of Tourism Attractions, Penang (ATAP), Ch’ng Huck Theng berkata pakej pelancongan bagi tempoh sehingga hujung tahun tahun adalah istimewa dan ‘sangat berbaloi’.

“Jadi, jangan duduk di rumah lagi, bawa anak-anak dan anggota keluarga dan kawan-kawan keluar melancong dan alami sendiri pengalaman menarik (dengan melancong) ke Pulau Pinang.

“Pakej (menginap hotel dan masuk ke kawasan pelancongan menarik) ke Pulau Pinang sangat istimewa, rugi kalau pelancong domestik tidak merebutnya,” jelasnya.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Khoo Boo Lim; dan Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan turut sertai sidang media proses tersebut.

Difahamkan, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, ini  adalah kali pertama Kerajaan Negeri dengan kira-kira 70 barisan pemegang taruh berwajib duduk sepentas bagi mempromosi kembali sektor pelancongan negeri.

Pemegang-pemegang taruh yang terlibat, antaranya, Entopia, Perbadanan Bukit Bendera, TheTOP, The Habitat, Taman Burung Pulau Pinang, Areca Hotel, Hotel Bayview, Hotel Jen, Lexis Suites, Golden Sand Resort dan Jawi Peranakan Mansion.

“Sektor pelancongan termasuk sektor perhotelan merupakan antara sektor penting dalam menggerakkan ekonomi negeri,” kata Boo Lim.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD