Kempen beli barang buatan Malaysia bantu IKS tingkat jualan

PANTAI JEREJAK – Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang berlangsung selama 14 hari bermula hari ini sehingga 3 Januari 2021 memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barang keperluan pada harga berbaloi.

Kempen yang merupakan inisiatif serampang dua mata berkenaan sedang berlangsung di pasar raya Sunshine Square, Bayan Baru disertai hampir 30 usahawan tempatan dengan memasarkan lebih 40 produk buatan Malaysia.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk memperkenal serta membantu meningkatkan jualan produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan dek pandemik COVID-19.

Jelasnya, melalui inisiatif berkenaan produk-produk usahawan IKS dapat sampai kepada pengguna dan dalam masa sama pengguna dapat menikmati tawaran harga lumayan.

“Walaupun ada peningkatan dalam pertumbuhan IKS sejak September lalu selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih terkesan ekoran pertumbuhan IKS mencatatkan negatif pada tempoh PKP iaitu Mac hingga Mei 2020.

“Diharap dengan kempen seumpamanya dan jualan hujung tahun yang sedang berlangsung ini akan menggalakkan orang ramai untuk keluar membeli-belah sekaligus meningkatkan semula jualan sektor IKS.

“Apa yang kita harapkan agar suku pertama tahun hadapan (2021) sektor IKS akan kembali berkembang semula terutamanya peningkatan daripada segi jualan,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan kempen berkaitan di pasar raya berkenaan pagi tadi.

Hadir sama Pengarah Urusan Sunshine Wholesale Mart Sdn. Bhd., Datuk Hwang Thean Long dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cynthia Hwang.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata bahawa bagi rakyat Malaysia, kebanyakan pendapatan peniaga yang terkesan ialah pengeluar produk tempatan kerana selama tempoh PKP hingga PKPP (Pemulihan), orang ramai hanya membeli barang keperluan asas seperti makanan dan barang dapur.

“Sudah sampai masanya rasa cinta diserlahkan dalam bentuk menyokong produk dan jenama Malaysia kerana produk buatan tempatan ini tidak tertakluk kepada barangan makanan semata-mata tetapi pelbagai barangan keperluan lain,” seru beliau.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF