BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri memperkenalkan Kempen “Bijak Membantu, Elak Tertipu” untuk mendidik masyarakat supaya berhati-hati dalam memberi sedekah kepada gelandangan atau pengemis.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa kempen tersebut adalah bertujuan memastikan (gelandangan) mendapatkan saluran bantuan yang betul.
“Semua sedia maklum mengenai kewujudan pengemis dan gelandangan di kawasan awam, terutamanya di bazar Ramadan.
“Tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tetapi ramai juga yang mengambil kesempatan dengan menjadikan aktiviti mengemis sebagai satu pekerjaan.
“Oleh itu, operasi ini dilaksanakan untuk membanteras aktiviti mengemis secara terancang serta memastikan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dibantu melalui saluran yang betul,” jelasnya semasa sesi sidang media dekat sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan rentan dan akan terus memperkasakan usaha melalui pelbagai program pemulihan dan intervensi sosial.
“Di bawah peruntukan Akta Orang Papa 1977 dan Akta Kanak-Kanak 2001, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti mengemis, termasuk pihak yang mengeksploitasi golongan rentan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), dan warga emas.
“Justeru, kita ingin menggalakkan masyarakat untuk menyalurkan bantuan kepada institusi kebajikan yang berdaftar dan badan-badan yang sah agar bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan taktik segelintir pihak yang menyalahgunakan simpati orang ramai untuk kepentingan peribadi.
“Sebaliknya, marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras eksploitasi ini dengan menyalurkan bantuan melalui saluran dan agensi yang sah,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya, Tham Weng Keat berkata bahawa operasi berjadual semalam merupakan operasi dirancang oleh unit penguatkuasaan di kawasan-kawasan ‘hotspot’.
“Pada tahun lepas, pihak JKM telah menyelamatkan seramai 33 gelandangan yang mengemis di premis dan tempat awam.
“Kebiasaannya, bagi gelandangan yang susah dan memerlukan, pihak JKM akan menyalurkan bantuan mengikut kelayakan seperti bantuan warga emas, kanak-kanak dan juga OKU.
“(Dan) selain di sini (bazar Bayan Baru), pihak JKM turut menjalankan operasi di beberapa lagi bazar (mengikut daerah), dan didapati terdapat aktiviti mengemis dilakukan.
“Operasi pula dijalankan mengikut jadual, ada atau tiada aduan pihak JKM tetap turun padang membuat pemantauan serta mengedar risalah kepada pengunjung dan peniaga di sini.
“Oleh itu, bagi yang ingin mengemukakan aduan, anda boleh sampaikan maklumat secara terus kepada pihak JKM atau hubungi di talian Kasih, 15999,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT