Kempen CEPA-PRABN Jawi 2025, perkukuh kesedaran umum terhadap bencana banjir

3944daa1 191c 41db b8b8 745541cbe13d

JAWI – Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang julung kali diadakan di kawasan letak kereta Econsave Jawi, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)  menerima sambutan yang amat menggalakkan khasnya daripada masyarakat setempat.

Program anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar itu juga  menghimpunkan seramai 180 pelajar Kejuruteraan Awam bersama-sama lebih 20 pensyarah, bertujuan meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan masyarakat terhadap ancaman bencana banjir.

Pengarah JPS Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee berkata, program ini merupakan antara inisiatif susulan tragedi banjir besar pada Disember 2014 yang melanda lapan negeri, meragut 25 nyawa serta menyebabkan pemindahan lebih 500,000 mangsa dengan kerugian mencecah RM2.85 bilion.

“Sebanyak 10.1peratus kawasan di negara ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir, melibatkan kira-kira 5.67 juta penduduk dan kerugian harta benda mencecah RM1 bilion setiap tahun,” ujarnya pada majlis berkaitan di sini pada 16 April 2025.

Menurut beliau, PRABN kini dilaksanakan secara menyeluruh dengan pembinaan model ramalan banjir di 41 lembangan sungai utama di seluruh negara termasuk Pulau Pinang.

Selain itu, jelasnya, pihak JPS Pulau Pinang telah menubuhkan Pusat Pemantauan Banjir dan Kemarau di Komtar serta Pejabat Operasi di Seberang Perai Utara (SPU) yang lengkap dengan kemudahan sistem ICT dan ruang mesyuarat bagi agensi-agensi berkaitan.

6a2d095f 9c17 42ea a9c0 aeefc584cb1b

“Dari segi infrastruktur pula, lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berskala besar telah siap, lapan lagi sedang dilaksanakan termasuk di Lembangan Sungai Jawi dan tiga lagi bakal dimulakan dalam masa terdekat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Politeknik Ungku Omar, Rosmalati Aman Shah menyatakan bahawa penyertaan pelajar dalam program ini merupakan satu pendekatan tepat dalam memperkasa kesedaran dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Pendedahan ini membolehkan pelajar memahami peranan mereka dalam menangani risiko banjir secara lebih tersusun dan efektif.

“Ilmu yang diperoleh amat berguna sebagai panduan asas ketika menghadapi kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah SPS, Khairulnizam Hashim menyuarakan kebimbangan terhadap impak perubahan iklim dan cuaca ekstrem di negeri ini yang memberi kesan besar pada infrastruktur, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Sebanyak 15 kawasan di daerah ini dikenal pasti sebagai hotspot banjir manakala enam kawasan lagi diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan data antara 2023 dan 2024,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan PRABN amat bergantung pada tahap kesedaran dan penglibatan masyarakat dan program seperti CEPA memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman awam.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Pusat Kajian Lembangan Sungai Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Safari Mat Desa; Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Ungku Omar, Norman Zambri; Penolong Pengarah Kanan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Khairul Azhan Jamaluddin serta wakil-wakil agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pemilik sistem Penang Alert, D. Ambika Devi, turut berkongsi peranan Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang dalam menyelaras pelbagai jenis bencana, termasuk banjir, tanah runtuh dan bencana industri.

Beliau menjelaskan bahawa selain faktor semula jadi seperti air pasang besar, hujan lebat dan altitud rendah, faktor buatan manusia seperti pembangunan pesat, sistem saliran tidak berkesan dan infrastruktur yang tidak mencukupi turut menyumbang kepada risiko banjir.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah SPS, Maheran Ghazali menyatakan bahawa negeri ini kini berada dalam fasa peralihan monsun yang sering menyebabkan pembentukan ribut petir dan hujan lebat pada waktu petang atau malam.

Katanya, pelbagai agensi teknikal memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana peringkat daerah termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Jabatan Kerja Raya (JKR); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital Sungai Bakap.

“Sekiranya berlaku banjir, kesemua agensi ini akan segera turun ke lokasi dan menilai situasi untuk tindakan lanjut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka sekiranya banjir memberi kesan kepada komuniti, manakala Pejabat Daerah akan mengaktifkan bilik gerakan bencana sebagai pusat koordinasi utama.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyediakan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang berdaftar di PPS serta RM10,000 bagi kes kematian, tertakluk kepada syarat kelayakan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan bantuan tambahan antara RM200 hingga RM5,000 melalui Tabung Bencana Negeri,” ujarnya lagi.

Pegawai JKM Daerah SPS, Muhammad Rizal Abdul Majid, menjelaskan bahawa JKM memainkan peranan penting sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Sebaik menerima isyarat keperluan, maklumat disalurkan melalui saluran rasmi seperti kumpulan WhatsApp ‘PKOB’ dan ‘Info Bencana’,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan terhadap paras air Sungai Jawi, Junjung dan Kerian dilakukan secara berterusan apabila hujan berlarutan melebihi setengah jam, sebagai petunjuk utama risiko banjir.

“JKM juga bertanggungjawab dalam pembukaan PPS, penyediaan makanan, keperluan asas serta perkhidmatan kaunseling semasa dan selepas bencana.

“Stor bantuan disediakan di JKM Jawi, namun pengagihan kadangkala menghadapi cabaran seperti jalan dinaiki air dan kekangan logistik,” tambah beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa simulasi bencana diadakan setiap tahun sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dan agensi berkaitan secara berterusan.

Seorang pelajar dari Politeknik Ungku Omar, Muhammad Hazim Mohamad Suaimi yang merupakan Ketua Pelajar Projek berpendapat bahawa kempen ini telah berjaya meningkatkan kesedaran dan pendidikan khususnya pelajar – pelajar Politeknik Ungku Omar tentang kepentingan memelihara sumber air dan alam sekitar.

“Melalui pameran, ceramah serta aktiviti interaktif yang disediakan, maklumat yang disampaikan menjadi lebih mudah difahami dan berjaya menarik minat kami sebagai pelajar,” ujarnya ketika ditemui pada program di sini.

Jelasnya lagi, para pelajar turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti luar seperti gotong-royong, penanaman pokok dan mengecat stesen hidrologi, sekali gus memberi pengalaman secara langsung dalam pemeliharaan alam sekitar.

“Pengalaman sebegini amat membantu kami memahami isu alam sekitar dengan lebih mendalam serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara praktikal,” tambahnya.

Muhammad Hazim turut berkongsi bahawa selepas menyertai PRABN, beliau secara peribadi merasakan bahawa program ini sangat berjaya dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap isu perubahan iklim dan bencana banjir yang semakin meruncing di negara kita.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar : DARWINA MOHD.DAUD