Kempen Derma Darah kerjasama MPKK Simpang Empat, UTDHPP dipuji

Admin

PULAU BETONG – Penganjuran kempen menderma darah menjadi platform terbaik bagi menampung stok bekalan darah pada tempoh penularan pandemik COVID-19 kini.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, ekoran penularan pandemik dahsyat tersebut menyebabkan kekangan kepada Unit Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (UTDHPP) untuk memasuki kilang yang lazimnya mensasarkan jumlah penderma yang besar.

“Difahamkan bahawa pihak hospital kini sukar untuk memasuki sektor perkilangan kerana kebanyakan mereka khuatir akan pandemik yang sedang menular.

“Justeru, saya cadangkan mungkin hospital boleh lihat semula prosedur operasi standard (SOP) iaitu melakukan pengujian calitan menggunakan kaedah Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) kepada penderma bagi membolehkan mereka menderma darah dan dengan cara itu mereka (penderma) lebih rasa selesa dan selamat.

“(Meskipun) stok darah di UTDHPP bukanlah berada pada paras kritikal, namun ia adalah proses berterusan… darah perlu sentiasa ada ketika diperlukan,” ujarnya sambil memuji Inisiatif Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat dengan kerjasama UTDHPP yang mengadakan Kempen Menderma Darah Kali Ke-4 hari ini.

Hadir sama Setiausaha MPKK Simpang Empat, Idzham Ahmad, Penghulu Kanan Pejabat Daerah Barat Daya, Mohd. Farouk Varusai Mohd. dan wakil UTDHPP, Ahmad Faiz Mansur.

Difahamkan bahawa, bagi mereka yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 perlu menunggu tempoh 14 hari sebelum dibenarkan menderma darah.

Dalam pada itu, Idzham ketika ditemui memberitahu bahawa kempen berkenaan merupakan inisiatif kali keempat MPKK Simpang Empat bagi memudahkan orang tempatan sekitar Balik Pulau untuk menderma darah.

“Disebabkan COVID-19 yang melanda, penderma tidak boleh ke hospital, jadi kita bawakan khas UTDHPP ke sini bagi memudahkan mereka menderma, Alhamdulillah sambutan menggalakkan apabila hamper 20 penderma tampil mendema hari ini.

“Di kesempatan itu juga, kita membantu untuk melakukan pendaftaran imunisasi COVID-19 kepada mereka yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF