Kempen Kediaman Selamat akan diperluas ke semua daerah – Exco

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperluaskan lagi program Karnival Kediaman Selamat ke semua daerah di negeri ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya ibu bapa tentang bahaya barangan dalam rumah termasuk produk mengandungi bahan kimia.

Menurut Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, program tersebut memberi signifikan yang amat baik.

“Statistik pada tahun 2005 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 49 peratus iaitu 50,000 kes kecelakaan melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun akibat kurang berhati-hati terhadap produk bahan kimia yang terdapat di dalam rumah.

Saifuddin Nasution meninjau beberapa booth pameran.

“Kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat terdedah kepada bahan kimia seperti peluntur, botol-botol minuman diisikan dengan pewarna, ubat nyamuk dan pemetik api yang tidak disimpan di tempat yang sepatutnya,” ucapnya semasa program berkaitan di perkarangan Masjid Al-Huda dekat Sungai Ara, di sini.

Hadir sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Musa Ali (Pendaftar Universiti Sains Malaysia), Prof. Datuk Dr. Mohamed Isa Abd. Majid (wakil Pusat Racun Negara) dan Sekretariat Kempen Kediaman Selamat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menegaskan bahawa adalah penting bagi ibu bapa untuk berkongsi maklumat mengenai pentingnya kediaman yang selamat.

Perkara itu katanya, selaras dengan visi Penang2030 ‘A Family-Focused Green And Smart State That Inspires The Nation’ yang diterajui Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yoew.

Sementara itu, Saifuddin Nasution semasa berucap sebelum itu turut bersetuju bahawa kes keracunan biasanya berpunca dari rumah dan bukan dari kilang mahupun ladang.

“Justeru, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk menyemarakkan kesedaran terhadap isu ini supaya kita semua lebih berhati-hati sekaligus mengurangkan kes keracunan di rumah,” ujarnya lagi.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: IDZHAM AHMAD