GEORGE TOWN – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, kempen Penang Goes Orange (PGO) kembali lagi pada tahun ini dengan mengangkat tema #Kindness4Wellness: Stop Bullying.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, tema tersebut juga adalah selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membendung isu buli di sekolah.
“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPM pada tahun lalu menunjukkan seramai 175,575 pelajar pernah dibuli dan 26.7 peratus daripadanya adalah kecam badan (body shaming).
“Lebih membimbangkan lagi apabila laporan turut menyatakan bahawa nisbah seorang daripada lima pelajar pernah mengalami buli siber manakala peratusan buli paling tinggi pula dicatatkan berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu,” katanya pada sidang media pengumuman Kempen PGO 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Dr. Florance Sinniah; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng berta wakil-wakil penaja kempen PGO 2023.
Tambah Siew Khim, kempen PGO 2023 akan berlangsung selama 16 hari bermula pada 25 November sehingga 10 Disember 2023 selaras dengan usaha antarabangsa iaitu “International Orange Day’ demi membanteras keganasan terhadap wanita.
Katanya lagi, kempen pada tahun ini juga turut mendapat kerjasama daripada 20 organisasi termasuk badan badan akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pelbagai program dan acara yang dapat meningkatkan kesedaran tentang isu buli merangkumi semua lapisan masyarakat khususnya golongan pelajar akan diadakan sepanjang kempen ini berlangsung.
“Adalah diharapkan usaha untuk menghentikan buli yang diangkat dalam kempen PGO pada tahun ini dapat bergerak dengan berkesan supaya kita dapat menyampaikan mesej tersebut kepada seluruh penduduk di negeri ini.
“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bersama-sama menjayakan kempen #Kindness4Wellness: Stop Bullying sempena PGO 2023 demi membentuk masa depan yang lebig cerah tanpa keganasan,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN