BATU MAUNG – Kempen Shop and Be Rewarded yang dilancarkan di Kompleks Bukit Jambul pada 11 Disember lalu adalah bagi membantu industri membeli-belah yang terkesan akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, kempen serampang dua mata ini bukan sahaja menggalakkan orang ramai berbelanja tetapi juga pada masa sama membantu para peniaga yang terkesan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha-usaha untuk menjana kembali pusingan ekonomi seperti ini yang dilihat mampu menggiatkan semula sektor peruncitan tempatan.
“Saya juga teruja apabila diberitahu bahawa terdapat kira-kira 300 peniaga mikro dan sederhana yang menjalankan perniagaan di sini (Kompleks Bukit Jambul).
“Diharapkan usaha ini dapat membantu peniaga meneruskan kelangsungan perniagaan dan pastikan pengunjung serta peniaga mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi keselamatan semua,” ujarnya pada majlis berkaitan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Kompleks Bukit Jambul, Chan Kean Hin ketika ditemui berkata, pihaknya amat berharap kehadiran tahun baru 2022 nanti akan memulihkan semula ekonomi.
“Diharapkan tahun 2022 akan datang, keadaan ekonomi akan semakin pulih dan inisiatif yang dijalankan hari ini mendapat perhatian dan sokongan umum,” katanya.
Serentak penganjuran Kempen Shop and Be Rewarded, turut diadakan adalah majlis penyerahan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada wakil anggota keselamatan dari Balai Polis Sungai Nibong, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jalan Perak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: KBJ