Kempen Tandas Bersih sasar kesedaran umum

Oleh : ZULIANA AZIZ

ORANG ramai sedang melihat pameran yang disediakan oleh Kerajaan Negeri mengenai kebersihan tandas awam di Sunway Karnival di sini baru-baru ini.
ORANG ramai sedang melihat pameran yang disediakan oleh Kerajaan Negeri mengenai kebersihan tandas awam di Sunway Karnival di sini baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Prihatin dengan isu kebersihan tandas yang sering diabaikan orang ramai di tempat-tempat awam khususnya di kawasan Seberang Perai, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah melancarkan Kempen Tandas Bersih bertempat di pusat beli belah Sunway Karnival di sini baru-baru ini.

Kempen yang julung kali diadakan di Sunway Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow sambil disaksikan oleh Yang Di-Pertua (YDP) MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, Ahli-ahli Majlis MPSP serta beberapa orang tetamu jemputan khas.

Kempen berkenaan adalah bagi memperlihatkan dengan lebih jelas masalah-masalah kebersihan di tandas awam terutama milik pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit serta tidak terkecuali tandas-tandas milik swasta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa ‘Task Force’ Kesihatan Awam MPSP, Soon Lip Chee, pada tahun lalu, pihaknya (MPSP) telahpun melaksanakan sistem penggredan bagi memberikan markah terhadap tahap kebersihan tandas awam di semua pasaraya, hotel, stesen minyak dan sebagainya.

“Daripada 782 tandas di restoran yang telah dibuat pemeriksaan, didapati sebanyak 632 tandas iaitu kira-kira 82
peratus hanya mendapat gred 2 bintang.

“Ini amat mengecewakan kami kerana tiada satu pun tandas di premis makanan yang mendapat pengiktirafan 5 bintang,” ujar beliau semasa ditemui oleh wartawan Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Lantaran itu, pihak MPSP telah berbincang tentang kaedah untuk meningkatkan kesedaran orang awam bahawa  betapa pentingnya penjagaan tandas awam.

Dalam pada itu, seramai sembilan wakil bagi setiap pasaraya iaitu Sunway Karnival, Carrefour, Jusco Perda (AEON Perda), Giant Prima Prai, Tesco Extra, Tesco Alma, The Summit Bukit Mertajam, Carrefour Bukit Minyak dan Megamall Pinang turut dijemput bagi mengadakan pameran mengikut giliran masing-masing pada setiap hari minggu hari Sabtu dan Ahad khusus bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kebersihan tandas awam.

Pameran akan dijalankan di lobi setiap pasaraya pada hujung minggu bagi menarik perhatian pengunjung serta meningkatkan kesedaran tentang bagaimana, mengapa dan bagaimana cara untuk mengekalkan tandas supaya sentiasa bersih dan selesa.