Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari mulai 1 Mac, sasar ‘merdeka’ dari beg plastik sekali guna

img 2443

GEORGE TOWN – Dalam usaha membendung penggunaan beg plastik sekali guna (single use plastic bag), mulai 1 Mac ini, Kerajaan Negeri akan memulakan Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, sejak tahun 2009 lagi pelbagai inisiatif pengurangan bahan tersebut dijalankan dan kini sudah tiba masanya untuk melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari.

 

“Bermula 1 Mac 2025, Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari akan dimulakan sebagai pendidikan kepada orang ramai sebelum penguatkuasaan sebenar menjelang 1 September 2025 nanti.

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) sasar untuk menghapuskan penggunaan ‘single use plastic bag’ menjelang 31 Ogos 2025, kita mahu Pulau Pinang turut ‘merdeka’ dari beg plastik sekali guna,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata demikian pada sidang media berkaitan di Jeti Swettenham dekat sini pagi tadi.

img 2393

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Josephine Tan Mei Ling; Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Dato’ Yeoh Soon Hin dan Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau.

 

Mengulas lanjut, Sundarajoo menganggap bahawa tempoh enam bulan iaitu bermula 1 Mac hingga 1 September 2025 cukup untuk mendidik orang ramai tentang larangan tersebut.

img 2411

“Saya yakin Pulau Pinang mampu mencapai sasaran ini setelah banyak inisiatif dilakukan sebelum ini seperti Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Isnin hingga Rabu dan pengenaan caj RM1 bagi penggunaan setiap beg plastik pada hari Khamis hingga Ahad.

“Hasilnya, sejak tahun 2009 kita telah mengutip kira-kira RM8 juta untuk kempen tanpa beg plastik yang mana 10 peratus digunakan untuk memperkasakan kempen dan inisiatif serta hal-hal lain yang berkaitan,” jelasnya.

img 2430

Difahamkan, untuk tempoh tiga bulan pertama, pihak PGC akan mengedarkan kira-kira 100,000 beg kitar semula secara percuma di premis-premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai galakan untuk menormalisasikan penggunaan beg kitar semula.


Antara jenis-jenis premis terlibat dalam kempen ini adalah pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, stesen minyak, kedai-kedai rangkaian, farmasi dan premis-premis lain yang akan ditambah secara berperingkat dari masa ke masa.



Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD