Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari membentuk budaya lestari, pelihara alam sekitar

whatsapp image 2025 02 21 at 11.33.58

BERMULA 1 Mac 2025 sehingga 31 Ogos 2025, Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang bakal dilaksanakan dalam meneruskan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

 

Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), JOSEPHINE TAN MEI LING berkata, kempen tersebut adalah kesinambungan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma sebelum ini.

 

Tempoh 1 Mac sehingga 31 Ogos 2025 adalah tempoh pendidikan dan kesedaran awam yang mana penguatkuasaan sepenuhnya adalah pada 1 September 2025 nanti.

 

“Pelaksanaan kempen ini buat masa ini membabitkan premis sedia ada di bawah lapan kategori yang disenaraikan pada kempen yang lalu, lain-lain premis berkaitan akan dimasukkan dalam senarai pelaksanaan ini pada masa hadapan.

 

“Pendek kata, jika sebelum ini pelaksanaan hanya melibatkan tiga hari sahaja tanpa beg plastik tetapi kini menjadi tujuh hari atau setiap hari tiada beg plastik,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI baru-baru ini.

 

Lapan kategori premis yang dimaksudkan adalah hypermarket; pasar raya besar; pasar raya serbaneka; kedai serbaneka; restoran makanan segera; kedai serbaneka stesen minyak; kedai rangkaian dan farmasi.

 

Meskipun pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang ini hanya melibatkan premis tertentu, bagi NOOR FIRDAUS SHABUDIN, beliau berharap kempen yang dilaksanakan dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai impak negatif penggunaan plastik terutama plastik sekali guna terhadap alam sekitar.

 

img 20250220 wa0032
NOOR Firdaus Shabudin.

Oleh itu, saya menyambut baik kempen ini kerana ia boleh menggalakkan orang ramai termasuklah para peniaga dan pengusaha F&B (makanan dan minuman) seperti saya, mencari bahan alternatif yang lebih mesra alam dan boleh dikitar semula bagi menggantikan penggunaan plastik pada masa akan datang,” katanya yang merupakan pengurus dan pemilik restoran bercirikan Morocco, Warna Cuisine yang terletak di Lorong Chulia, George Town. 

 

Menurut pemilik Nazzeeras’ Roti Bakar Kacang Phool, NASIRAH SHARIF, kelestarian sentiasa menjadi teras di premis perniagaannya yang terletak di Kompleks Desiran Tanjung, Tanjung Tokong.

 

“Oleh itu, saya menyokong sepenuhnya inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menghapuskan penggunaan beg plastik.

 

img 8488 768x1024
NASIRAH Sharif (kiri) bersama-sama ibunya.

“Saya percaya langkah ini adalah selaras dengan komitmen untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan merupakan langkah yang betul ke arah memelihara alam sekitar dan generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara.

 

Jelas Nasirah, meskipun beliau menyedari cabaran kewangan yang dibawa dalam tempoh peralihan ini, terutama jika ia melibatkan peniagaan kecil, namun beliau sedia meneroka alternatif yang lebih mesra alam dan kos efektif.

 

“Beg guna atau pakai semula untuk pembungkusan makanan memerlukan kos tambahan, jadi peniaga perlu menguruskannya dengan teliti untuk mengelakkan beban yang terlalu besar kepada pelanggan.

 

Ya, perubahan boleh menjadi sesuatu yang amat mencabar, tetapi saya percaya dengan kerjasama semua pihak, kita boleh merealisasikannya seterusnya memberi manfaat kepada semua.

 

“Saya teruja kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ke arah menjadikan Pulau Pinang yang lebih hijau,” ujarnya.

 

Bagi pemilik restoran Citarasa Dadi Dada yang menyajikan sajian tradisional Melayu, NUR DIYANA YAHAYA, beliau berharap dalam tempoh pendidikan dan kesedaran awam ini dapat membentuk sikap pengguna.

 

whatsapp image 2025 02 21 at 11.38.25 (1)
NUR Diyana Yahaya.

“Misalnya, jika ingin membungkus makanan, pelanggan boleh membawa bekas makanan sendiri ke restoran atau sanggup membayar caj pembungkusan lebih kerana menggunakan pembungkusan makanan selain plastik.

 

Memang agak susah terutama premis F&B tapi jika mahu dilaksanakan, saya rasa tidak mustahil, cuma perlu tekankan aspek kesedaran kerana mungkin ada sesetengah orang yang masih kurang faham dengan kempen ini,” katanya.

 

Bagi Pengerusi Belia Pulau Pinang N37 Batu Maung, NUR SHAHIDAH SYED MOHAMED, beliau merasakan bahawa kempen tersebut merupakan langkah positif ke arah alam sekitar yang lebih lestari pada masa hadapan.

 

img 20250220 wa0034
NUR Shahidah Syed Mohamed.

Sebagai pengguna, saya melihat kempen ini akan memberi peluang untuk mengubah tabiat penggunaan beg plastik ke arah beg guna semula sebagai alternatif dan sekali gus mengurangkan kebergantungan kita terhadap beg plastik.

 

 

“Jadi, apabila dimaklumkan bahawa ada usaha untuk mengedarkan beg guna semula dan memberi tempoh sehingga Ogos 2025 untuk peralihan, ia adalah langkah bijak kepada pengguna untuk menyesuaikan diri,” katanya.

 

Tempoh peralihan selama enam bulan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi untuk sesebuah perniagaan bersiap sedia dan mencari alternatif.

 

Itu yang dikatakan oleh penjual sayur di Pasar Batu Maung, C.J. LIM.

img 20250220 wa0035
C.J. Lim.

Menurutnya, sudah tiba masa untuk Pulau Pinang meneruskan ‘perjuangan’ membasmi penggunaan plastik khasnya plastik sekali guna dan menjadi pemangkin untuk negeri-negeri lain ikut serta.

 

Kerajaan Negeri sejak 2008 lagi telah melaksanakan kempen seperti ini, jadi apabila mahu memulakan usaha tanpa beg plastik sepenuhnya, saya sangat bersetuju.

 

“Pada saya, tempoh dari 1 Mac sehingga 31 Ogos yang diberikan cukup untuk membolehkan peniaga beralih dari menggunakan beg plastik sekali guna,” katanya.

 

Begitu juga bagi Eksekutif Sumber Manusia di salah sebuah kilang di Bayan Lepas, CHLOE TAN JIA YI yang memuji usaha murni Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

img 20250220 wa0057

“Saya rasa tidak sukar untuk menghapuskan penggunaan beg plastik kerana saya sendiri telah menggunakan beg sekali guna dan meletakkannya di dalam kereta untuk kegunaan harian.

 

“Jadi, isu susah tidak akan timbul sama sekali,” katanya yang kerap membeli barangan keperluan harian di pasar mahupun pasar raya.

 

 

Terdahulu, pada 14 Februari lalu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo mengumumkan bahawa sebagai permulaan, sebanyak 100,000 beg kitar semula akan dibekalkan kepada penduduk di negeri ini untuk tiga bulan pertama kempen.

 

Manakala, bagi bulan berikutnya, tambahnya, pengguna boleh membeli atau membawa sendiri beg kitar semula ke premis yang terlibat seperti yang dipraktikkan selama ini.

 

Kempen ini bukan sekadar dasar tetapi seruan membentuk budaya kelestarian di samping menyeru setiap warga Pulau Pinang untuk mengurangkan sisa plastik.

 

“Kerajaan Negeri sedang merangka garis panduan komprehensif untuk membasmi penggunaan beg plastik dan juga mengurangkan penggunaannya di seluruh negeri Pulau Pinang secara beransur-ansur,” jelasnya.

 

Secara asasnya, pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang merupakan langkah penambahbaikan garis panduan yang diguna pakai sejak tahun 2017 berdasarkan perkembangan terkini dan keperluan semasa selaras dengan dasar Cleaner, Greener, Safer, Healthier and Happier Penang.