Kenaikan tarif air demi tambah baik infrastruktur bekalan air – Kon Yeow

Admin
whatsapp image 2024 07 22 at 14.36.52

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sekali lagi mengulangi jaminan bahawa hasil yang dijana daripada kenaikan tarif air akan digunakan untuk menambah baik infrastruktur bekalan air di negeri ini.

Beliau berkata, kadar tarif baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu adalah diputuskan pada peringkat Persekutuan dan melibatkan semua negeri di Semenanjung Malaysia.

“Hasil yang dijana daripada kenaikan tarif air ini akan digunakan untuk menampung kos bagi menambah baik infrastruktur bekalan air di negeri ini.

“Hakikatnya, kadar tarif baharu ini sebenarnya masih belum mencukupi, dan memerlukan Kerajaan Negeri membuat pinjaman atau menerbitkan sukuk pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai gesaan Umno Pulau Pinang supaya Kerajaan Negeri menghentikan sementara kenaikan kadar tarif air baharu.

Semalam, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyatakan bahawa rakyat Pulau Pinang tetap terkesan dengan tarif baharu walaupun Kerajaan Negeri memberi subsidi atau rebat bagi kategori tertentu.

Menurut beliau, pihaknya mahu Kerajaan Negeri membuat kajian terhadap impak serta kebajikan rakyat berhubung kenaikan berkenaan.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaikkan kadar tarif air pada masa akan datang, Kon Yeow memberitahu bahawa setakat ini perkara itu belum diputuskan oleh pihak SPAN dan kabinet.

“Di bawah regim pengurusan air, setiap tiga tahun pihak syarikat pengurusan air akan menghantar rancangan perniagaan masing-masing untuk mendapatkan kelulusan daripada SPAN.

“Namun begitu, kadar baharu yang akan ditetapkan atau tarikh pelaksanaannya adalah tertaluk kepada syarikat pengurusan air atau negeri.

“Saya percaya bahawa kajian semula akan berlaku pada setiap tiga tahun, dan setakat ini kita (Kerajaan Negeri) belum terima apa-apa keputusan lagi daripada SPAN dan Kabinet mengenai kajian tersebut,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah RM1.17 bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.

Pada 6 Jun lalu, kerajaan negeri meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberi rebat dalam bentuk air percuma 10,000 liter pertama selama enam bulan dan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.

Pemberian air percuma 10,000 liter itu berkuat kuasa bulan ini hingga Disember depan dan skim rebat membabitkan isi rumah besar iaitu lapan orang ke atas dengan pendapatan RM5,000 ke bawah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS