Kenakan FMCO berdasarkan kes harian – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) berdasarkan kepada jumlah kes harian COVID-19 melalui perbandingan antara negeri.

 

 

 

Jelasnya, sungguhpun negara ini mencapai lebih 5,000 kes positif harian, namun terdapat negeri-negeri yang mempunyai kes yang agak rendah.

 

 

 

“Jadi keputusan (FMCO) mungkin tidak boleh dilihat secara ‘blanket’ iaitu bukan dengan secara keseluruhan, sekiranya lockdown diperlukan di kawasan tertentu, itu kita tidak akan nafikan.

 

 

“Kita boleh laksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pelbagai jenis seperti sebelum ini, dan ini adalah cadangan peribadi saya.

 

 

 

“Ekonomi kita merudum, periuk nasi rakyat jelata semua terjejas, justeru mungkin boleh lihat dan mengguna pakai pendekatan tersebut,” ujar Jagdeep melalui satu sidang media pagi tadi.

 

 

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menyambut baik apabila Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah melaraskan semula waktu operasi perniagaan bagi penjaja kecil dan peniaga di pasar awam.

 

 

 

“Minggu lepas saya sudah minta MKN selaraskan operasi waktu penjaja dan peniaga di pasar, yang mana peniaga pasar bermula jam 6 pagi dan penjaja pukul 8 pagi.

 

 

 

“Saya telah minta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) buat menghantar surat rayuan bertarikh 23 Jun kepada MKN, dan semalam berdasarkan pengumuman ia telah diselaraskan.

 

 

 

“Ini kerana, walaupun cuma melibatkan beberapa jam, namun ia memberi impak yang besar kepada penjaja kecil yang terjejas,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD