Kenal pasti lokasi sesuai wujudkan pusat belia di setiap KADUN, saran Exco

PULAU BETONG – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyarankan agar setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk mewujudkan pusat belia di kawasan masing-masing.

 

Mengulas lanjut, Lip Chee berkata, menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan pusat belia di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini bagi menggalakkan penglibatan belia dalam program serta aktiviti kemasyarakatan setempat.

 

“Saya menyeru supaya ADUN-ADUN dapat bekerjasama dengan pihak Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk mengenal pasti tempat yang sesuai dijadikan sebagai pusat belia pada kadar segera.

 

“Ketika ini telah ada tiga pusat belia di Pulau Pinang iaitu di Penaga; Balik Pulau dan Bertam, selain yang terbaharu di Penanti,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Belia Balik Pulau dekat Dewan MPKK Kuala Jalan Bharu.

 

Lip Chee (empat dari kanan) semasa perasmian pembukaan Pusat Belia Balik Pulau.

Difahamkan, Pusat Belia Balik Pulau telahpun dibuka pada 27 Ogos lalu, namun dek kerana pelbagai kekangan maka dirasmikan pada 11 Disember 2021.

 

Sementara itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling yang turut hadir pada majlis berkaitan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan Pusat Belia Balik Pulau.

 

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) dan Book Island (syarikat penerbitan buku) yang telah menyumbangkan sebanyak 400 buah buku untuk kegunaan di Pusat Belia Balik Pulau.

 

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu melahirkan belia yang rajin membaca dan celik,” ujarnya.

 

Lip Chee bersama individu yang terlibat dengan temuduga terbuka & pameran kerjaya.

Serentak dengan perasmian Pusat Belia Balik Pulau, turut diadakan beberapa program selingan antaranya pameran kerjaya dan temu duga terbuka oleh kilang Flex dan Greatech Technology Berhad, pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dan klinik sukan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

 

Turut menjayakan perasmian tersebut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Keselamatan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Jalan Bharu dan Rukun Tetangga setempat.

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: EXCO