Kenali Rasulullah SAW di Pameran Kempen Kenalkan Nabi Muhammad

9bd2455d c32e 49a5 88fc b3385499e9e5

GEORGE TOWN – Sempena bulan Rabiulawal tahun ini, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Pulau Pinang menganjurkan Pameran Kempen Kenalkan Nabi Muhammad bertempat di Ruang Konkos, Tingkat 3, Komtar dekat sini.

Pengerusinya, Yusni Ghazali berkata, selain mendapat tajaan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP), pameran tersebut turut dinaungi oleh Pejabat Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

img 2167
Yusni Ghazali.

Beliau berkata, pameran dua hari bermula 30 September (semalam) itu juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Dakwah Islamian Malaysia (Yadim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan disokong oleh Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang.

“Program ini dilaksanakan sejak tahun 2020 lagi di bawah Kempen Kenalkan Nabi Muhammad kerana bulan ini, yang dipanggil Rabiulawal adalah sinonim dengan kelahiran Rasulullah SAW.

“Sepanjang bulan ini, kami mengadakan hampir 10 inisiatif serta program termasuk pameran untuk memperkenalkan Nabi Muhammad SAW, terutamanya kepada masyarakat bukan beragama Islam.

“Melalui pameran ini, kami hendak dedahkan kepada orang bukan Islam mengenai Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat ruang pameran di sini sebentar tadi.

Yusni yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan Insan dan Dakwah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap pameran tersebut setakat ini adalah sangat menggalakkan.

“Sambutan semalam cukup menggalakkan yang mana ramai orang datang untuk melihat dan mendapatkan bahan-bahan berkaitan Nabi Muhammad SAW yang kita pamerkan di sini.

“Selain orang awam, kami juga memaklumkan kepada peniaga-peniaga di sini supaya datang ke ruang pameran di samping mengedarkan risalah-risalah berkaitan Nabi Muhammad SAW kepada mereka,” jelasnya.

dsc00030img 2156 img 2157 img 2160

Beliau berkata, kebanyakan bahan-bahan yang dipamerkan tersebut adalah berkaitan sejarah dan peribadi Nabi Muhammad SAW selain turut merangkumi maklumat mengenai agama Islam.

“Bahan-bahan yang dipamerkan di sini sebenarnya adalah bersifat universal iaitu boleh didapati daripada sumber internat.

“Terdapat juga sebahagian daripada bahan-bahan pameran ini kami perolehi daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan dakwah antarabangsa yang kemudian dibingkaikan untuk dipamerkan kepada orang ramai,” katanya.

Yusni berkata, paling penting hasil daripada penganjuran pameran tersebut adalah untuk membolehkan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini mengenali siapa itu Nabi Muhammad SAW.

“Melalui pameran ini, orang ramai berpeluang mendapatkan risalah dan membaca bahan-bahan berkaitan Nabi Muhammad SAW.

“Kami juga tekankan kepada mereka bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja diutuskan kepada umat Islam semata-mata, melainkan baginda adalah nabi untuk sekalian alam,” ujarnya lagi.

Susulan kejayaan penganjuran pameran tersebut, Yusni memberitahu bahawa GDM Pulau Pinang akan meneruskan lagi inisiatif tersebut kerana diyakini mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Oleh itu, kami amat mengalu-alukan mana-mana agensi, jabatan kerajaan atau NGO yang berminat untuk menyumbang bagi menjayakan kempen ini, sama ada dalam bentuk kewangan, bahan-bahan atau lokasi pameran.

“Paling penting adalah medan pameran yang dicadangkan itu mestilah di kawasan yang menjadi tumpuan orang awam, dan berhubung tarikh penganjuran pula tidak semestinya pada September, boleh juga diadakan pada bulan-bulan lain.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada kami, terutamanya ZPP yang telah menaja pameran ini,” katanya yang juga Ketua Operasi Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT