Kenang pengorbanan generasi terdahulu rintis proses bentuk negara bangsa moden Malaysia, seru Ketua Menteri

Admin
587bd872 d639 49fa 840a 52d486c72b61 KETUA Menteri sendiri melekatkan bendera Jalur Gemilang sebelum menyempurna acara pelepasan konvoi 25 kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Tahun 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan hadapan Seberang Perai Arena, Seberang Jaya pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Selaras dengan gagasan Malaysia Madani, sekalian kelompok rakyat negeri Pulau Pinang diseru mengenangkan pengorbanan generasi terdahulu yang terlibat dalam sejarah panjang proses pembentukan negara bangsa moden yang kini dikenali sebagai Malaysia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Tahun 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Seberang Perai Arena di sini pada 2 Ogos 2024.

“Ketahuilah bahawa penganjuran majlis seperti hari ini bukan sahaja acara rutin (tahunan), tetapi ianya merupakan suatu momentum yang penting kepada kita semua untuk mengukuhkan semangat kebangsaan, memupuk perpaduan dan menghargai nilai-nilai kebebasan serta kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pendahulu kita,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

8bd665ce b0b2 4264 9857 b2231989f620
KETUA Menteri (tengah) dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Selain itu, Kon Yeow turut menyeru sekalian rakyat negeri untuk menyambut ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara dengan semangat patriotik.

“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam menyambut ulang tahun negara tercinta yang telah mencecah usia 67 tahun kemerdekaan.

“Tema ini dipilih sebagai menzahirkan kebebasan rakyat dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial serta ekonomi yang seterusnya membentuk kesatuan rakyat kukuh, harmoni dan progresif selari dengan intipati Malaysia Madani,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut melancarkan Kempen ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’ dengan mengagihkan bendera-bendera kepada sekalian 63 wakil jabatan negeri dan persekutuan, agensi-agensi kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta firma korporat.

“Kibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis masing-masing adalah cara paling mudah untuk menunjukkan semangat patriotisme dalam diri sendiri,” serunya.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama sekalian hadirin menyertai acara nyanyian Jalur Gemilang dan beberapa lagu patriotik lain.

Majlis kemuncak adalah majlis pelepasan konvoi 25 kenderaan agensi kerajaan yang akan jerayawara ke seluruh bahagian Seberang Perai dan berakhir di Jabatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI