GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diminta menjelaskan sebab-musabab kemerosotan sejumlah RM1,105 juta dalam Akaun Hasil Disatukan, yang mana berbaki RM50 juta sahaja pada tahun 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng membangkitkan persoalan itu semasa membahaskan Belanjawan 2024 Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 26 November 2024.
“Ini, berbeza dengan tahun-tahun sebelum 2019 yang mana pertumbuhan ekonomi memberangsangkan telah membawa tambahan hasil sehingga Kumpulan Wang Disatukan mencatatkan rekod sebanyak RM2.1 bilion pada 2019.
“Apakah punca penurunan sebanyak RM1,105 juta ini dalam tempoh lima tahun selain daripada tahun pandemik COVID-19.
“Apakah alasan pertumbuhan ekonomi yang baik tidak dapat mencatatkan sebarang tambahan hasil kerajaan negeri,” soalnya yang juga mantan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Difahamkan, defisit belanjawan 2025 negeri dianggarkan dapat dikurangkan kepada RM34 juta kerana perbelanjaan dikurangkan sebanyak 10.2 peratus atau RM 107 juta kepada RM 940 juta pada 2025; berbanding dengan RM1,047 pada 2024 juta.
Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa dianggarkan hasil negeri dijangka naik sebanyak RM374 juta atau peningkatan 70 peratus kepada RM 907 juta pada 2025 berbanding dengan RM533 juta pada 2024.
Justeru, beliau yang juga mantan Menteri Kewangan memberitahu bahawa adalah lebih praktikal untuk mengawal perbelanjaan daripada memastikan peningkatan hasil.
“Bukan mudah untuk mencapai peningkatan hasil sebanyak 70 peratus atau RM374 juta.
“Oleh itu, bolehkah penjelasan diberikan macam mana peningkatan hasil yang besar sebanyak 70 peratus akan diperoleh, khususnya di mana datangnya sumber peningkatan hasil yang utama,” tanyanya lagi sambil mengharapkan penjelasan lanjut daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Pada 22 November lepas, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota membentangkan Belanjawan 2025 Negeri Pulau Pinang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.047 bilion, yang merangkumi RM940,223,689 perbelanjaan mengurus negeri.
Beliau berkata, belanjawan yang dibentangkan itu dengan RM33.63 juta anggaran kurangan kewangan merupakan defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB