Kenderaan berat lebih 5 tan dilarang guna laluan sekitar Bukit Tambun pada waktu puncak mulai 3 Februari 2025

e89566a2 1910 4633 a639 a79a58232e6a

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini mengeluarkan pemakluman mengenai pelaksanaan larangan kenderaan berat melebihi lima (5) tan dari menggunakan laluan di sekitar Bukit Tambun pada waktu puncak mulai 3 Februari 2025.

 

 

Datuk Bandar, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, larangan tersebut melibatkan Jalan Bukit Tambun dari persimpangan Jalan Perindustrian Bukit Minyak hingga ke Tol Bukit Tambun (Utara) dan Jalan Pa Thau – Paboi dekat Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan.

 

 

Larangan ini berkuat kuasa setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am bermula dari jam 6.30 pagi sehingga 8.30 pagi dan 5.00 petang sehingga 7.00 malam.

 

 

“Had larangan muatan adalah pada semua kenderaan berat 5,000 kilogram (BTM) ke atas kecuali kepunyaan kerajaan atau badan-badan berkanun.

 

 

“Sebelum ini, perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas dan Infrastruktur pada 6 Mac 2020, diluluskan dalam Majlis Penuh pada 28 Julai 2021 dan diwartakan pada 29 Mac 2021 untuk dikuat kuasa mulai 31 Mac 2021.

 

 

“Walau bagaimanapun, larangan ini akan dikuatkuasakan semula mulai 3 Februari 2025 nanti untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Bukit Tambun terutama pada waktu puncak,” ujarnya pada sidang media di Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 20 Disember 2024.

 

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta barisan Ahli Majlis MBSP.

 

 

Mengulas mengenai laluan alternatif, Baderul Amin memaklumkan bahawa pengguna mempunyai beberapa pilihan laluan.

 

 

Bagi laluan alternatif dari arah utara dan selatan, melalui Lebuhraya Utara Selatan pengguna boleh menggunakan laluan di susur keluar Juru dan Tol Bandar Cassia.

 

 

“Manakala, melalui Jalan Persekutuan / Negeri pula, pengguna boleh menggunakan Jalan Tok Kangar – Jalan Perindustrian Bukit Minyak 8 atau Jalan Perindustrian Bukit Minyak – Jalan Kendi / Jalan Persekutuan – Jalan Perusahaan Valdor dari arah utara serta dari arah selatan adalah melalui Jalan Perusahaan Valdor,” jelasnya.

 

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 04-549 7629 ( Unit Lalulintas, Jabatan Kejuruteraan MBSP) atau 04-549 7603 (Pejabat Penolong Pengarah Kanan Kejuruteraan MBSP).

 

 

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS