Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) ingin menjelaskan berikutan siaran media sosial terbaru daripada Prof. Dr. Ramasamy mengenai “ketidakadilan” kepada Anantha Raj, pemilik Waterfall Cafe, Taman Botani Pulau Pinang.
Sejak bertahun lalu, PBBPP telah menerima banyak aduan dan maklum balas daripada orang ramai serta agensi lain mengenai operasi tidak terkawal perkhidmatan jip dan pemandu jip memandu secara berbahaya di sepanjang Jalan Jip. Sebagai pihak bertanggungjawab menguruskan Bukit Bendera, PBBPP perlu memastikan keselamatan, keselesaan dan aliran trafik yang lancar untuk pengunjung di Bukit Bendera. Untuk mencapai matlamat ini, PBBPP telah melaksanakan peraturan-peraturan trafik yang antara lain mengawal selia kenderaan yang dibenarkan masuk ke Bukit Bendera melalui Jalan Jip.
Peraturan-Peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalu Lintas) 2022 yang diwartakan pada 31 Mac 2022 hanya membenarkan kenderaan yang mempunyai permit untuk mengakses Jalan Jip. Peraturan ini terpakai kepada semua orang termasuk pemandu jip yang membawa pengunjung ke dan dari Bukit Bendera.
Malah sebelum pelaksanaan peraturan itu, pada November 2021, PBBPP telah memaklumkan kepada semua pemandu jip mengenai cadangan sistem perkhidmatan jip berpusat. Sejak pelaksanaan peraturan itu pada Jun 2022, PBBPP tanpa jemu menjemput semua pemandu jip sedia ada termasuk Anantha Raj dan tiga (3) pemandu Waterfall Cafe untuk menyertai pemandu perkhidmatan jip lain di bawah sistem perkhidmatan jip berpusat. PBBPP juga telah membiayai pembinaan tapak untuk kegunaan operator perkhidmatan jip di bawah sistem berpusat.
Matlamatnya mudah: untuk memastikan perkhidmatan jip yang disediakan dikawal dan beroperasi dengan teratur dan adil. Dengan memberikan permit hanya kepada penyedia perkhidmatan jip berdaftar yang mematuhi peraturan PBBPP, kami boleh mengekalkan persekitaran yang tersusun dan selamat untuk pengguna dan pengunjung. Ia menghalang percambahan tidak terkawal penyedia perkhidmatan jip, yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna Jalan Jip dan penduduk.
PBBPP telah mengadakan banyak sesi libat urus dan mengeluarkan surat peringatan kepada Waterfall Cafe sepanjang 2 tahun yang lalu di mana kumpulan itu tetap berkeras untuk tidak menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat. Pada peringkat awal pelaksanaan, Waterfall Cafe telah menunjukkan penolakan yang kuat sehingga menyebabkan kelewatan pelaksanaan sistem perkhidmatan jip berpusat walaupun telah beberapa kali mesyuarat diadakan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Setelah beberapa tarikh diberikan, PBBPP telah menetapkan 31 Disember 2023 sebagai tarikh akhir untuk Waterfall Cafe menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat. Walaupun Anantha Raj telah memberikan pengesahan bertulis pada 24 Disember 2023 kepada PBBPP bahawa Waterfall Cafe akan bekerjasama dan menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat, sehingga kini mereka tidak menunaikan janji mereka.
PBBPP telah memanggil satu lagi mesyuarat pada 6 Februari 2024 dengan pemandu jip termasuk Anantha Raj dan tiga (3) pemandu Waterfall Cafe untuk menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat.
Walaupun Anantha Raj dan tiga (3) pemandu Waterfall Cafe bersetuju untuk menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 pada mesyuarat tersebut, akhirnya hanya seorang (1) pemandu yang bekerjasama dan menyertai sistem tersebut. Anantha Raj dan baki dua (2) pemandu sekali lagi dengan sengaja gagal berbuat demikian sehingga kini. Walaupun PBBPP memberikan jemputan terakhir kepada Waterfall Cafe untuk menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat, mereka telah berulang kali mengabaikan tarikh akhir yang dikenakan dan enggan bekerjasama.
Sebagai agensi penyelaras, PBBPP tidak mempunyai pilihan selain menamatkan kad akses Anantha Raj dan dua (2) pemandu. Perkara ini dimaklumkan kepada Anantha Raj pada mesyuarat 6 Februari 2024, di mana PBBPP telah menyatakan dengan jelas bahawa kegagalan untuk menyertai sistem perkhidmatan jip berpusat pada 1 Mac 2024 akan mengakibatkan penamatan kad akses.
Mengenai perkara yang berasingan, projek kereta kabel telah lama dalam perancangan untuk Bukit Bendera. Projek ini akan menaikkan status Bukit Bendera dan Taman Botani Pulau Pinang serta menyaksikan beberapa penambahbaikan dijalankan di kawasan tersebut.
Penglibatan telah dijalankan dengan pihak berkepentingan yang terjejas untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan untuk mencapai situasi menang-menang. Walaupun terdapat tunggakan sewa oleh Waterfall Cafe, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah Timur Laut Pulau Pinang juga telah menawarkan alternatif yang munasabah kepada Waterfall Cafe untuk berpindah dari tapak dan meneruskan perniagaannya. Bagaimanapun, tanpa pertimbangan, mereka telah menolak tawaran tempat yang baru di dalam kompleks tempat letak kereta bertingkat yang akan dibina serta tapak sementara semasa pembinaan sistem Kereta Kabel Bukit Bendera untuk mereka beroperasi. Sikap baik dan empati kerajaan ditolak tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Pada 19 Jun 2023, Prof. Dr. Ramasamy selaku Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan Anantha Raj wakil pihak Waterfall Cafe bersama Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera dan PBBPP memutuskan bahawa Waterfall Cafe perlu dipindahkan ke tempat lain untuk memberi laluan kepada projek Kereta Kabel Bukit Bendera dan Waterfall Cafe perlu menjelaskan tunggakan sewa hartanah yang belum selesai [673C (Pusat Informasi)]. Malangnya, Anantha Raj gagal mematuhi kedua-dua ketetapan yang dipersetujui oleh Prof.
Kerajaan negeri melalui salah seorang exco telah mengadakan pertemuan dengan Anantha Raj pada 15 Mac 2024 bagi membincangkan isu perkhidmatan jip berpusat serta penempatan semula Waterfall Cafe. Mengenai penggabungan sistem perkhidmatan jip berpusat, Anantha Raj telah membuat syarat yang tidak munasabah dan tidak adil yang tidak boleh diterima oleh PBBPP dan Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera. Mengenai penempatan semula Waterfall Café, Kerajaan negeri telah melanjutkan tarikh akhir pengosongan tapak sehingga Jun 2024. Pada masa yang sama, Anantha Raj perlu memaklumkan keputusannya kepada pejabat daerah sebelum akhir Mac 2024.
Kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Bagaimanapun, agensi penguatkuasa negeri harus diberi kebebasan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan bagi menegakkan keadilan dan memastikan tadbir urus yang baik.
Terima kasih.
#TAMAT#