Kenyataan Nor Mohamed cuba takutkan Melayu

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511M kononnya akan berlaku di Malaysia jika UMNO kalah pada pilihanraya umum ke- 13 adalah dakyah Nor Mohamed Yakcop semata-mata, kata Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Ketua Menteri itu berkata, Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak berbeza dengan Perkasa Pribumi Negara (Perkasa) kerana menggunakan sahutan perkauman “Ketuanan Melayu” dengan ugutan dan taktik ketakutan.

“Barisan Nasional (mahu) mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum yang akan datang (bak) hitam akan menjadi putih dan putih akan menjadi hitam seperti yang ditunjukkan oleh New Straits Times dan Utusan Malaysia yang terpaksa meminta maaf kerana menyiarkan berita palsu.

“Sepatutnya Pakatan Rakyat (PR) yang menuduh Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihanraya (cuba serah kedaulatan negara kepada pihak asing) atas kehadiran pengundi hantu yang diragui, termasuk warga asing yang didaftarkan sebagai pemilih (SPR),” ujar beliau di dalam satu kenyataan baru-baru ini di sini.

Dari segi yang lain, beliau berkata, kenyataan berunsur perkauman yang diluahkan oleh Nor Mohamed sekaligus menyerlahkan bahawa pemimpin UMNO berkenaan “tidak mempedulikan pengundi bukan Melayu”.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut mencabar Nor Mohamed Yakcop yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor supaya mengemukakan bukti mengenai dakwaan PR ada membatalkan projek-projek tertentu berkaitan kepentingan Melayu yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional.

“Bolehkah Tan Sri Nor menyenaraikan program-program yang telah dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan telah dibatalkan oleh Kerajaan Negeri PR,” soal beliau.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang era PR sejak Mac 2008 lepas telahpun membelanjakan lebih RM50 juta untuk program- program yang membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.

Program-program tersebut antaranya sumbangan RM100 setahun untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta pelajar tahun 1 dan 4, Tingkatan 1 dan 4.

Itu, tidak termasuk sumbangan RM1,000 kepada waris warga emas meninggal dunia, calon mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari keluarga berpendapatan isi rumah kurang dari RM4,000.

Ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri turut membasmi kemiskinan di Pulau Pinang dengan mencukupkan pendapatan isu rumah  sekurang – kurangnya RM600 sebulan.

Tuntas dari itu, Guan Eng berkata, ucapan Nor Mohamed yang ghairah menajamkan soal Ketuanan Melayu sekaligus meletakkan pemimpin UMNO berkenaan saling tak tumpah seperti kumpulan pendesak Perkasa yang mengamalkan politik perkauman melampau.