Kepelbagaian acara akan promosikan lagi industri ekopelancongan Seberang Perai – Exco

Admin
ANTARA persembahan pentas sempena acara perasmian pembukaan Pesta Kebudayaan Muzik dan Makanan Tradisional Tempatan di Pusat Ekopelancongan SPU, Pinang Tunggal pada malam tadi.

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri akan terus mempergiat kerjasama dengan pihak peniaga tempatan dan sekalian ejen pelancongan berkaitan dengan mempromosikan lagi produk-produk pelancongan negeri terutama di bahagian Seberang Perai Utara (SPU) demi manfaat bersama.

YEOH Soon Hin (depan, tiga dari kiri) diiringi Lay Hock Peng (depan, dua dari kiri) dan seorang tetamu jemputan lain semasa sesi melawat gerai makanan tradisonal tempatan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin menyifatkan Pesta Kebudayaan Muzik dan Makanan Tradisional Tempatan yang dianjurkan oleh Lay Hock Peng dari Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di Pusat Ekopelancongan SPU merupakan suatu acara yang selari dengan Pelan Induk Pelancongan Negeri Pulau Pinang.

“Demi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa untuk melawat ke negeri Pulau Pinang, saya telah menitikberatkan kepentingan mempelbagaikan budaya dan keindahan alam semulajadi yang terdapat di kawasan Seberang Perai (yang mana) ia adalah satu cara untuk kami (Kerajaan Negeri) merealisasikan objektif ini.

“Sekiranya industri ekopelancongan di Seberang Perai dikembangkan, saya yakin ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, para pengunjung dan peniaga tempatan dapat dimanfaatkan dari pelbagai segi,” jelasnya semasa merasmikan acara pesta tersebut di sini pada 9 Ogos 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa di bawah Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang juga Kerajaan Negeri sedia untuk saling bekerjasama dan memberi sokongan terhadap industri ekopelancongan bagi mencapai Visi Penang2030 sebagaimana digariskan oleh pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Saya berharap usaha-usaha seperti (menganjurkan Pesta Kebudayaan Muzik dan Makanan Tradisional Tempatan) ini bukan sahaja dapat memacu ekonomi tempatan, malah juga membantu untuk merealisasikan hala tuju Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (2021-2030) yang mengetengahkan pembangunan seimbang antara kedua-dua bahagian Pulau dan Seberang Perai supaya ekonomi negeri dapat dipertingkat secara holistik,” ujarnya lagi.

Sebelum pada itu, Hock Peng memberitahu bahawa Pesta Kebudayaan Muzik dan Makanan Tradisional Tempatan yang dianjurkan selama empat hari sehingga 12 Ogos 2022 antara lain akan menonjolkan aspek kepelbagaian budaya tradisional etnik peringkat tempatan.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya berharap dengan penganjuran Pesta Kebudayaan Muzik dan Makanan Tradisional Tempatan tersebut sekali gus akan mempopularkan lagi Pusat Ekopelancongan SPU seperti Kampung Agong dan beberapa destinasi pelancongan terkenal di daerah berkenaan.

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut menyertai acara perasmian pembukaan pesta tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD