Kepelbagaian budaya, kemajmukan kaum mesti dipertahankan, kata Exco

(Dari kiri) HENG Yeh Shiuan, Yeoh Soon Hin dan Jason H’ng Mooi Lye dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

JAWI – Sempena menyambut bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri, Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin membina replika wakaf dengan atap daripada daun-daun nipah berhampiran Jalan Sungai Daun dekat Nibong Tebal pada 28 Mac 2023.

Bercakap kepada pemberita, Soon Hin berkata kemajmukan budaya rakyat di negeri Pulau Pinang dalam menyambut Ramadan sebenarnya unik dan mempunyai daya tarikan pelancongan tersendiri dalam kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Justeru, beliau berharap semua pihak supaya terus mempertahankan semangat muhibah dalam kepelbagaian budaya lokal ini.

YEOH Soon Hin diiringi Jason H’ng Mooi Lye, pegawai-pegawai Pusat Khidmat ADUN Jawi dan pemimpin tempatan merakamkan gambar kenangan seusai Majlis Perasmian Replika Wakaf Beratap Daun-Daun Nipah dekat Bulatan Jalan Sungai Daun di sini pada 28 Mac 2023.

“Kepelbagaian budaya adalah suatu keunikan bagi negeri Pulau Pinang dan keunikan ini sebenarnya adalah saya tarikan buat pelancong domestik dan pelancong asing terutama pada musim-musim perayaan utama negara.

“Untuk mengekalkan dan mempromosi keunikan (budaya yang majmuk) ini, kita (Kerajaan Negeri) perlukan kerjasama daripada semua pihak yang berbilang kaum di samping semangat perpaduan semua,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Bercakap pada sidang media sama, ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye merakamkan penghargaan kepada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif kerana membina replika wakaf beratap daun-daun nipah tersebut sebagai ikon tarikan pelancongan setempat baharu sempena sambutan bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri nanti.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Chee Yeeh Keen turut menyertai majlis perasmian replika tersebut tadi.

MAJLIS penyampaian pek bantuan barangan sempena Ramadan kepada penerima terpilih dilangsungkan sebelum acara berbuka puasa di Masjid Jamek Nibong Tebal.

Menjelang masuk waktu Maghrib, Soon Hin diringi Mooi Lye turut meraikan ahli kariah tempatan dalam suatu majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Nibong Tebal di sini.

Dalam majlis itu, Soon Hin menyempurnakan acara penyampaian sumbangan bantuan berupa pek barangan keperluan dapur kepada 20 penerima terpilih.

Sementara, Mooi Lye dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) kerana memperuntukkan sejumlah 100 hamper untuk disumbangkan kepada asnaf terpilih sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR