Keputusan Mahkamah tunjuk liputan Utusan berniat jahat

Admin

Oleh : ZAINUFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang baru-baru ini menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi terhadap penerbit akhbar arus perdana, Utusan Malaysia (Utusan) menunjukkan bahawa liputan akhbar tersebut adalah berniat jahat dan bertujuan menipu pembaca.

Dalam pada itu, keputusan yang mana memerintahkan Utusan supaya membayar ganti rugi am dan ganti rugi keterlaluan sebanyak RM200,000 serta kos sebanyak RM25,000 kepada Ketua Menteri turut membuktikan bahawa rencana Utusan berjudul “Kebiadaban Lim Guan Eng” yang diterbitkan 20 Disember 2010 di dalam akhbar berkenaan adalah palsu.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini, penghakiman (kewangan) menunjukkan secara konklusif bahawa Y.A.B Ketua Menteri (Lim Guan Eng), DAP dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pulau Pinang) bukan anti Melayu dan anti Islam seperti yang didakwa secara palsu dan berniat jahat oleh Utusan.

Kata kenyataan itu, penghakiman Hakim Varghese George Varughese itu sekaligus membuktikan bahawa polisi-polisi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Mac 2008 sehingga sekarang benar-benar bertujuan untuk membela seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Tambahnya, tujuh dakwaan Utusan, iaitu bahawa Y.A.B. Ketua Menteri telah:
1. menindas Melayu serta cuba menghapuskan satu demi satu perkampungan Melayu di bumi Pulau Pinang;

2. membatalkan atau menghalang perarakan Maulidur Rasul pada tahun 2010 (yang sebenarnya diadakan);

3. tidak membenarkan peniaga-peniaga Melayu berniaga di KOMTAR sepanjang bulan Ramadan;

4. merobohkan gerai-gerai milik Melayu;

5. menggunakan dana dari sumber perjudian untuk memberi RM100 kepada warga emas;

6. merobohkan perkampungan Melayu di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Genting, Balik Pulau; dan

7. mengusir penduduk-penduduk India dari Kampung Buah Pala.

adalah tidak disokong oleh fakta-fakta, malah, berdasarkan maklumat yang diputarbelitkan.

Dalam satu kehakiman pada pertengahan Disember tahun lepas, Hakim Varghese menganggap kesemua tuduhan Utusan itu sebagai “sesuatu yang  amat sukar dipercayai” dan ia sebenarnya “tidak benar sama sekali”.

Justeru, MMK Pulau Pinang yang menerima dan menyokong penuh keputusan Mahkamah Tinggi berharap penghakiman ke atas Utusan menjadi iktibar kepada media arus perdana yang lain.

“(Semoga) media arus perdana lain dapat mengambil iktibar (serta) menghayati pengalaman kewartawanan yang bertanggungjawab (yang dianggap) amat penting kepada sistem demokratik di Malaysia,” ujar kenyataan itu lagi.