Kerajaan bakal keluarkan akta baru pantau pemberian pinjaman institusi bukan bank

whatsapp image 2024 11 11 at 14.39.44

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan satu akta baru bagi mengawal selia penawaran pemberian pinjaman oleh institusi kewangan bukan bank pada tahun depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bahawa akta tersebut penting kerana sistem kewangan yang sedia ada adalah di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ini adalah sesuatu yang penting untuk kita tangani dan dalam sistem kewangan kita kini, ada pengawal selia wujud untuk mengawal selia apa sahaja yang keluar daripada sistem perbankan, yang mana BNM akan mengawalnya.

“Justeru, akta yang akan keluar tahun depan adalah untuk kita mengawal pemberian pinjaman, sistem beli sekarang bayar kemudian dan sebagainya.

“Ini akan memudahkan kita (kerajaan) untuk mengawal pemberian pinjaman atau mengenal pasti isu-isu yang keluar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada program Malaysia Market Outlook: Propelling Malaysia Forward di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah.

whatsapp image 2024 11 11 at 14.39.44 (1) whatsapp image 2024 11 11 at 14.39.44 (1)whatsapp image 2024 11 11 at 14.39.48 whatsapp image 2024 11 11 at 14.39.46

Ketika ditanya sama ada pentadbiran baharu Donald Trump akan memberi kesan kepada Malaysia, Amir berkata kerajaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai dasar kerajaan baharu Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.

“Trump akan mengambil alih jawatan Presiden pada Januari tahun hadapan dan sehingga tempoh itu, Malaysia akan melihat dasar baharu yang mereka perkenalkan terlebih dahulu.

“Buat masa sekarang beliau sedang membentuk kabinet dan bagi Malaysia, kita akan merangka polisi baharu untuk merancakkan lagi ekonomi,” katanya.

Terdahulu, kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 mencetuskan perbincangan mengenai impak dasar ekonominya terhadap ekonomi negara lain termasuk Malaysia.

Media melaporkan bahawa pendekatan ‘America First’ menumpukan kepentingan domestik, pentadbiran Trump dijangka mengubah landskap perdagangan antarabangsa, mempengaruhi aliran pelaburan dan hubungan geopolitik.

Trump dijangka meneruskan dasar perlindungan ekonomi berusaha melindungi pekerjaan domestik AS dan meningkatkan pengeluaran dalam negara, termasuk mengenakan tarif import 10 peratus ke atas semua barangan import ke AS.

Trump turut bercadang mengenakan tarif setinggi 60 peratus ke atas produk China bagi menekan ekonomi negara Tembok Besar itu dalam persaingan global.

Langkah ini boleh membawa risiko kepada Malaysia yang menjadi pengeksport utama produk elektronik dan komponen ke AS dengan nilai tahunan besar.

Sekiranya tarif tinggi dikenakan ke atas produk dari China, produk Malaysia menggunakan komponen China juga mungkin terjejas, sekali gus mengurangkan permintaan AS terhadap barangan Malaysia.

Dalam pada itu, Amir berkata Malaysia masih berada di landasan yang betul memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan purata 5.1 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

“Malah, inflasi juga terkawal pada 1.8 peratus, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus pada September.

“Usaha kerajaan untuk menarik pelabur telah berjaya, memacu aktiviti ekonomi melalui penubuhan kilang pembuatan.

“Kita berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil yang positif, dan kita telah melihat petunjuk bahawa pertumbuhan akan berterusan pada tahun 2025,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS