PERMATANG BERANGAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan agar syiar Islam terus dimartabatkan di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa hadir menyampaikan bantuan bekalan makanan asas sempena bulan Ramadan dekat Madrasah Darul Muhajirin Padang Chempedak di sini, sebentar tadi.
“Saya percaya bahawa masyarakat yang berpegang teguh pada agama serta berilmu akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat sejagat,” katanya sebelum menyampaikan sumbangan tersebut kepada pihak pengurusan madrasah berkenaan.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Zulkifli Rashid; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul serta barisan pimpinan masyarakat setempat.
Kon Yeow dalam pada itu turut memuji usaha dilaksanakan pengasas madrasah berkaitan, Abdul Wahab Husin yang berjaya mengekalkan konsep pengajian pondok secara tradisi sejak ia ditubuhkan sekitar tahun 1990.
“Meskipun sudah mencecah usia 30 tahun pada zaman serba moden ini, konsep sama masih dikekalkan dan menjadi panduan serta pegangan dalam mempelajari ilmu keagamaan.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja secara peribadi kepada Tuan Haji Abdul Wahab tetapi kepada suluruh pentadbir madrasah ini.
“Justeru, adalah diharapkan seluruh pengurusan madrasah ini dapat terus melaksanakan amanah dan usaha murni meskipun menghadapi sedikit kekangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Semoga kita sama-sama sabar dan kuat dalam mengharungi perang melawan COVID-19 demi kesejahteraan bersama,” serunya.
Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama barisan tetamu jemputan yang hadir meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat sekitar madrasah berkaitan.
Difahamkan, Madrasah Darul Muhajirin Padang Chempedak dibangunkan melalui konsep perkampungan ilmu atau sekolah pondok yang menempatkan warga emas, pasangan berkahwin dan individu bujang.
Antara fasiliti yang disediakan di madrasah berkaitan termasuk kelas untuk mempelajari ilmu agama, bilik penginapan, dewan serta sebuah masjid yang siap dibina sepenuhnya sejak tiga tahun lepas.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD