Kerajaan Negeri akan salur peruntukan segera kepada pasukan menembak

Admin

KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri melalui Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee akan menyalurkan peruntukan segera  untuk kegunaan pasukan menembak Pulau Pinang membeli kelengkapan baharu.

Jelasnya, peralatan sedia ada seperti pistol, raifal, jaket dan kelengkapn lain disifatkan agak ketinggalan berbanding negeri lain.

“Saya diberitahu hari ini peralatan seperti pistol, jaket dan alatan latihan lain sudah ketinggalan berbanding negeri lain.

“Lebih kurang 15 tahun tiada pembaharuan… jadi saya mahu kertas kerja segera sebelum peruntukan disalurkan melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan peruntukan saya sendiri,” ujar beliau ketika melawat persiapan atlet menembak bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan di Kelab Menembak Pulau Pinang dekat Kebun Bunga hari ini.

Lip Chee menjangkakan, peralatan dan kelengkapan baharu berkenaan bakal diterima awal Ogos depan sekiranya semua proses berjalan lancar.

Hadir sama, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Setiausaha Kelab Menembak Pulau Pinang, Lim Toh Huan dan Jurulatih bagi pasukan menembak Pulau Pinang, Faizah Ab Aziz.

Tambah Lip Chee untuk menarik minat penyertaan atlet muda, peralatan asas mesti berada pada tahap terbaik dan terkini.

“Untuk masa hadapan kita mesti ada persiapan yang rapi dari segi peralatan sukan.

“Ini adalah titik permulaan, jurulatih sudah ada, persatuan pun sudah agresif jadi apa salahnya kita (Kerajaan Negeri) turut mainkan peranan membantu,” kata Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING