PULAU TIKUS – Buat julung kalinya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menganjurkan Fiesta Sukan Pulau Pinang 2018 selama sembilan hari sehingga 2 Disember 2018.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjur pesta tersebut akan menggalakkan lagi rakyat bergiat aktif dalam sukan serta menyemarak gaya hidup lebih sihat di negeri ini.
“Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang yang dianjurkan beberapa tahun dahulu pun mulanya kecil seperti ini, tetapi pada hari penganjuran sekarang telah menerima ribuan pengunjung di SPICE.
“Seperti Fiesta Sukan Pulau Pinang yang buat julung-julung kalinya diadakan pada hari ini, biarlah ia mula secara kecil, saya percaya ia akan menjadi satu lagi program negeri besar yang bakal dianjurkan di SPICE juga suatu hari nanti.
“Saya berpendapat bahawa acara ini sedikit banyaknya mampu memberi suatu impak yang sangat berkesan kepada penglibatan orang ramai di negeri ini yang masih belum melibatkan diri dalam aktiviti bersukan untuk memulakan program kesukanan dan seterusnya menjadikan ia sebagai suatu budaya hidup.
“Kerajaan Negeri akan senantiasa memberi galakan serta sokongan terhadap apa jua jenis aktiviti yang berkaitan dengan sukan dan belia,” jelasnya lalu merasmikan penganjuran Fiesta Sukan Pulau Pinang di dataran Gurney Paragon Mall di sini pada 24 November 2018.
Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee atas kejayaan mencetuskan idea menganjurkan fiesta tersebut dengan menghimpunkan pelbagai pemain industri pengeluaran jenama aksesori sukan seperti Nike, Li-Ning, Puma, Baiefeind, Mcdavid dan sebagainya dengan harga yang berpatutan.
Sebelum itu, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut menyampaikan ucapan.
Menurut beliau, pihaknya melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) memang sedang mencari jurulatih untuk melatih atlet negeri dalam beberapa arena seperti sukan karate.
Justeru, Lip Chee berharap mereka yang berkenaan boleh menghantar resume di pejabat Exco, Komtar atau menulis surat langsung kepada MSN Pulau Pinang.
Serentak itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MSN, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC); Sunlight Sdn. Bhd. dan Gurney Paragon Mall atas penganjuran bersama fiesta pada kali ini.
ADUN Sungai Bakap merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang); Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam); A. Kumaresan (ADUN Batu Uban); Frederick Tan Teck An (Pengarah MSN Pulau Pinang) dan Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir.
Turut serta, Pengasas & Penasihat Eksekutif Kumpulan Hunza, Datuk Seri Khor Teng Tong; Pengarah Urusan Kumpulan Hunza, Datuk Khor Siang Gin dan Pengurus Besar Sunlight Galaxy Sdn. Bhd., Simon Soh.
Selain persembahan ekstrem di pentas utama, para pengunjung turut berpeluang bertemu dan saling berinteraksi dengan jurulatih serta atlet-atlet negeri yang menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak baru-baru ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD