Kerajaan Negeri akan terus pantau bazar Ramadan pastikan pematuhan SOP

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memantau keadaan bazar-bazar Ramadan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi.

 

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menjawab soalan pemberita mengenai  pembatalan bazar Ramadan di salah sebuah negeri ekoran peningkatan kes COVID-19.

 

“Kita perlu memantau keadaan, walaupun bazar Ramadan dibenarkan, dan saya percaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan memantau keadaan kes (COVID-19) di setiap negeri.

 

“Malah, saya juga percaya MKN akan membuat keputusan sewajarnya, sekiranya keadaan tidak dapat dikawal, saya percaya keputusan sewajarnya perlu dibuat.

 

“Di Pulau Pinang, pastinya ia dipantau setiap hari, kalau ada peningkatan kes mendadak selama dua tiga hari, ia akan memaksa satu keputusan dibuat,” ujarnya pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2021 Kali Ke-17 Anjuran Liga Muslim Pulau Pinang dekat Lebuh Queen di sini petang ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Shahul Hameed Syed Mohamed dan Pengerusi Bersama Bazar Ramadan Liga Muslim 2021, Datuk Mohd. Sulaiman Hajah Mydin.

 

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong yakin bahawa bazar Ramadan Liga Muslim merupakan antara bazar unik yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Pulau Pinang.

 

Simbolik perasmian, Kon Yeow bersama-sama kepimpinan Liga Muslim Pulau Pinang memotong reben di hadapan pintu utama bazar.

 

Bercakap kepada pemberita, Shahul Hameed memberitahu bahawa jumlah gerai pada penganjuran kali ini turut dikurangkan berbanding sebelum ini.

 

“Tahun ini, cuma melibatkan 25 gerai berbanding 34 hingga 35 gerai sebelumnya bagi memastikan ada penjarakan antara peniaga.

 

“Malah, kita lihat bazar Liga Muslim kali ini adanya ‘battle of nasi beriyani’, enam gerai tampil dengan nasi beriyani dan seperti semua maklum, setiap tahun bazar kita memang seperti ada tema.

 

Antara santapan lain yang terdapat di bazar Ramadan Liga Muslim Pulau Pinang  kali ini termasuk nasi ayam, pasembur, manisan, air herba serta pelbagai makanan tradisi masyarakat India Muslim di sini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : CHAN KOK KUAN