Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo percaya bahawa penganjuran julung kali Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2015 atau Penang Property Summit 2015 (PPS’15) mampu memberi impak positif terhadap sektor hartanah dan perumahan di Pulau Pinang.
Jelasnya, sidang kemuncak dijadualkan berlangsung 9 hingga 11 Januari tahun hadapan itu dilihat mampu memberi kesan positif terutama sekali dalam mempromosi pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah di negeri ini.
“Seperti semua maklum, Kerajaan Negeri kini bergerak aktif dan agresif dalam menyediakan rumah kepada rakyat dan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah untuk memiliki rumah impian mereka.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga telah melancarkan kempen pemilikan rumah mampu milik dengan menawarkan 22,545 unit rumah pelbagai kos dari 12 buah projek di lima daerah di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media pengumuman Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.
Tambah Jagdeep, Pulau Pinang berbangga kerana menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengeluarkan garis panduan perumahan untuk pemaju swasta bagi memastikan jaminan kualiti rumah yang tinggi.
“Garis panduan perumahan itu perlu dipatuhi semua pemaju swasta yang ingin membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik demi menjamin keselesaan serta tahap kualiti perumahan di negeri ini,” ujar beliau.
Berikut adalah senarai projek perumahan mampu milik membabitkan lima daerah di negeri Pulau Pinang