GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan mengawal berbelanjaan beberapa jabatan, agensi dan anak syarikat negeri bagi mengurangkan unjuran defisit bajet 2024 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sebelum ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah kawalan tersebut dilaksanakan tanpa menjejaskan program dan projek berimpak tinggi yang telah dirangka untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat walaupun menyedari bahawa dalam jangka masa panjang, kedudukan kewangan negeri akan terus berkurangan.
“Bagi menjamin kelangsungan fiskal negeri dalam jangka masa panjang, Kerajaan Negeri telah meluluskan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri’ tanpa menjejaskan kepentingan rakyat berbanding keperluan aliran tunai negeri.
“Oleh itu, Jabatan Kewangan Negeri telah mengenakan sekatan antara 10 peratus hingga 50 peratus ke atas Objek Sebagai (OS) tertentu jabatan, agensi dan anak syarikat negeri sebagai langkah kawalan perbelanjaan berhemah,” katanya semasa berucap pada majlis Sesi Libat Urus Bersama Ahli Parlimen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang Bagi Penyediaan Bajet Negeri Tahun 2025.
Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga sedang merangka beberapa strategi bagi mencari hasil baru menerusi pelbagai sumber demi memastikan kelangsungan pembangunan negeri secara menyeluruh.
Namun beliau menyatakan bahawa perkara tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan saluran hasil bagi negeri Pulau Pinang adalah terhad kepada hasil yang berkaitan dengan tanah.
“Peranan Kerajaan Negeri adalah menjana pembangunan tetapi bukan semua projek mendatangkan hasil yang banyak kepada negeri.
“Justeru, Kerajaan Negeri sedang menunggu hasil daripada projek-projek berkaitan tanah seperti Penang South Island (PSI) serta pengkelasan semula tanah desa kepada bandar yang sedang disemak dan mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun lagi.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menstruktur semula pinjaman kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi melaksanakan projek-projek berimpak tinggi seperti ‘GBS by the Sea’.
“Saya optimis bahawa Kerajaan Negeri akan berupaya mengutip hasil lebih tinggi pada tahun ini dan tahun 2025 dengan komitmen yang diberikan oleh semua pihak,” katanya.
Pada masa sama, Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri juga masih meneruskan projek usaha sama awam swasta (PPP) seperti dalam pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera dan PSI atau Silicon Island yang sedang dilaksanakan kini.
“Selain itu, kebanyakan projek utama yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah melibatkan peruntukan syarikat swasta kerana sektor ini memainkan peranan lebih banyak dalam pembangunan di negeri ini,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai sesi libat urus bajet tahun 2025, Kon Yeow memberitahu bahawa pendekatan tersebut mampu menambah baik perancangan pembangunan di setiap kawasan di negeri ini secara mampan dan sejajar dengan strategi serta aspirasi Penang2030.
“Sesi libat urus kali ini turut menampilkan taklimat Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (SDO) berhubung program serta peruntukan yang boleh dimanfaat oleh rakyat negeri ini.
“Berteraskan ‘Malaysia Madani’, saya percaya kerjasama era tantara Jabatan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan dapat direalisasikan ke tahap yang terbaik.
“Saya juga yakin sesi libat urus pada kali ini akan memberi nilai tambah ke atas penyediaan Bajet Negeri Tahun 2025 demi pembangunan negeri Pulau Pinang secara holistik,’’ ulasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD