GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersama G Club Penang Cyclists akan menganjurkan acara Kayuhan Penang Fellowship Ride Paramount Property Bridge to Bridge 2023 pada 8 Januari tahun hadapan.
Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, laluan sepanjang 66 kilometer (km) itu akan merentasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua).
“Mengambil kira acara yang sama Penang Bridge2Bridge 2019 yang dianjurkan G Club Penang Cyclists dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) acara ini telah menerima penyertaan sebanyak 5,000 peserta.
“Walaubagaimanapun, demi keselesaan dan keselamatan, untuk kali ini cuma dibuka kepada 2,000 orang peserta sahaja.
“Apa yang lebih menarik, Yang DiPertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga akan turut serta berkayuh dalam acara tersebut,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media Penang Fellowship Ride 2023 di Komtar hari ini.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengerusi G Club Penang Cyclists, Dr. Lim Seh Guan dan barisan-barisan penaja.
Heng Hua pada sidang media itu memaklumkan, acara tersebut akan dimulakan tepat jam 7 pagi di Queens Waterfront (hadapan Queensbay Mall) menaiki Jambatan Pulau Pinang sebelum berhenti di Batu Kawan.
Selepas berkumpul semula, semua peserta akan bergerak semula ke tempat permulaan melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Kayuhan ini akan diketuai oleh marshal dan peserta dilarang sama sekali memotong. Sweeper juga akan mula bergerak jam 8 pagi yang mana peserta lambat akan terus dibawa menaiki lori bagi tujuan keselamatan dan kelancaran aliran trafik untuk dibuka semula.
“Pihak penganjur juga akan menjalakan tapisan yang ketat bagi mengelakkan ‘ghost rider’ tidak berdaftar, kerana peserta yang berdaftar dilindungi insurans khas,” katanya lagi.
Yuran penyertaan adalah RM130 bagi rakyat Malaysia dan RM180 untuk bukan warga negara dan individu berminat boleh layari https://howei.com/event_details/penangfellowshiprideparamountb2bride.
Berkenaan waktu penutupan jambatan, satu sidang media akan diadakan sebelum acara berlangsung.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI