Kerajaan Negeri arah tubuh taskforce, usaha posisikan semula kedudukan Pulau Pinang dalam anjakan rantaian bekalan sedunia – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Melalui ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ Kerajaan Negeri kini dalam keadaan siap siaga menghadapi situasi baharu akibat wabak COVID-19 terutamanya membabitkan aspek ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa strategi ekonomi merupakan salah satu daripada tiga cabang pembaharuan dalam pendekatan berkenaan iaitu pembaharuan institusi, ekonomi serta sosial negeri Pulau Pinang.

Menurut beliau, bagi memposisikan semula kedudukan negeri Pulau Pinang dalam anjakan rantaian bekalan sedunia, Kerajaan Negeri telah mengarahkan satu taskforce Ekonomi Next Normal Pulau Pinang ditubuhkan.

“Bagi memposisikan semula kedudukan Pulau Pinang dalam anjakan rantaian bekalan sedunia akibat krisis-krisis semasa seperti Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China dan wabak COVID-19, taskforce ini akan mengenal pasti hala tuju perkembangan ekonomi negeri, negara, serantau dan dunia serta mengorak strategi bagi menarik pelaburan-pelaburan baru ke Pulau Pinang dan Malaysia.

“Kita (Pulau Pinang) bercadang bertindak lebih awal bagi memastikan manfaat anjakan ekonomi sedunia ini akan menguntungkan negeri,” ujarnya sambil berharap agar pemetaan strategi ekonomi awal tersebut akan memberikan keyakinan kepada rakyat Pulau Pinang, dan pasaran secara amnya, sekaligus kepentingan rakyat dan negeri kekal terpelihara.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa fokus serampang dua mata ‘Strategi Next Normal Pulau Pinnag’ berkenaan adalah untuk memastikan pemacuan ekonomi Pulau Pinang melalui pelaksanaan projek-projek awam dan juga pengukuhan sektor PKS (Perniagaan Kecil dan Sederhana) negeri atau SME.

“Dalam aspek pengukuhan sektor SME, Pulau Pinang mensasarkan suatu kerangka pemikiran baru yang sebenarnya sudah mula dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini melalui:

Pertama, melalui pendigitalan ekonomi negeri dan pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Digital Penang untuk memangkin peralihan ini, di mana krisis yang berlaku kini telah mempercepatkan lagi proses pendigitalan ini. Serentak itu, Kerajaan Negeri mensasarkan penubuhan Digital Free Trade Zone pertama di Pulau Pinang menjelang tahun hadapan.

Kedua, memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor peralatan perubatan. Dalam tempoh 10 tahun ini, Kerajaan Negeri telah giat memperluaskan sektor ini, dan kini beberapa pemain utama peralatan perubatan global telah bertapak di Pulau Pinang.

Ketiga, memfokuskan semula sektor elektrikal dan elektronik (E&E) untuk mempelbagaikan produk mereka daripada produk elektronik konsumer kepada produk aplikasi industri seperti sistem telekomunikasi, peralatan Industri 4.0, peralatan perubatan dan lain-lain.

Keempat, mengembangkan sektor perkongsian perkhidmatan global, di mana pada masa kini Pulau Pinang mempunyai lebih 60 syarikat yang terlibat di dalam sektor ini dengan penyediaan pekerjaan bernilai tinggi kepada 12,000 pekerja melalui perkhidmatan seperti bidang kewangan, pengurusan rantaian bekalan, perdagangan, analitik, penyelidikan serta pembangunan, logistik dan sebagainya. Kemudahan dan ketersediaan rantaian bekalan matang ini telah mewujudkan satu ekosistem yang mempunyai efisiensi tinggi dan berkos rendah bagi menarik syarikat-syarikat multi-nasional untuk datang ke Pulau Pinang serta Malaysia.

Kelima adalah memposisikan semula kedudukan negeri melalui taskforce Ekonomi Next Normal Pulau Pinang.

“ Manakala pengumuman lanjut tentang projek awam Kerajaan Negeri akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow secara umumnya memberitahu bahawa ekonomi Pulau Pinang masih lagi mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Pulau Pinang telah merekodkan jumlah pelaburan pembuatan diluluskan untuk tempoh Januari sehingga September 2019 sebanyak RM13.3 bilion, ini mewakili kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan Malaysia.

“Pelaksanaan pelaburan ini sudahpun bermula, dan InvestPenang (iP) menjangkakan bahawa kita (Pulau Pinang) akan mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pkerjaan baru hasil daripada pelaksanaan pelaburan ini,” ulasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow turut memaklumkan berhubung inisiatif tambahan, Penang Career Assistance and Talent Centre (CAT Centre) yang telah mengambil langkah awal untuk menguruskan pemadanan serta penempatan semula pekerjaan kepada kira-kira 500 kakitangan kilang Esquel yang ditutup semalam.

“Pihak CAT Centre telah mengambil langkah menghubungi Bahagian Sumber Manusia kilang berkaitan bagi menguruskan pemadanan dan penempatan semula pekerjaan kepada kakitangan mereka di Pulau Pinang.

“Malah, terbaru adalah kilang Pan Apparel di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak yang membabitkan 2,600 pekerja dengan 30 peratus daripada adalah warga tempatan, Kerajaan Negeri juga akan meneliti keperluan pihak berkaitan pada kadar segera,” katanya.

Sementara itu, merujuk kepada jumlah kes baru di negeri Pulau Pinang yang telah empat hari berada pada kadar sifar, Kon Yeow memaklumkan bahawa berdasarkan pemantauan pelaporan kes COVID-19 untuk tempoh 14 hari bagi Negeri Pulau Pinang, sekiranya tiada pertambahan kes, semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau pada 27 April 2020.

“Bagi peringkat daerah, jika tiada pertambahan kes, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan menjadi daerah pertama zon hijau pada 21 April 2020,’’ ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video: ALISSALA THIAN