Kerajaan Negeri bakal monitor pembukaan pusat SPA, ‘wellness’ dan urut kaki, jika perlu SOP akan diperketatkan – Exco

Admin

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti terlebih dahulu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung pembukaan semula pusat SPA, ‘wellness’ dan urut kaki yang dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, di peringkat ini Kerajaan Negeri perlu monitor pembukaan operasi terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada SOP yang ditetapkan Kerajaan Pusat perlu diperketatkan lagi di peringkat negeri ataupun sebaliknya.

Jelasnya, setakat ini semua SOP yang diperkenalkan Kerajaan Pusat diikuti sepenuhnya di peringkat negeri.

“Semampu boleh kita (Kerajaan Negeri) akan ikut semua SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau adapun (SOP) yang ingin dipinda atau ubah, kita (Kerajaan Negeri) bukan bertindak melonggarkannya sebaliknya… mengetatkan ia lagi.

“Sama seperti semua SOP lain sebelum ini, malah ada SOP yang diperketatkan di peringkat negeri menjadi ikutan negeri lain,” ujarnya ketika disoal pemberita berhubung pembukaan semula pusat SPA, ‘wellness’ dan urut kaki.

Jagdeep yang juga pengerusi dua jawatankuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNNPP) sebelum itu melakukan pemantauan pematuhan SOP di tapak projek perumahan mampu milik dekat Bayan Mutiara di sini pagi tadi.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam perkembangan berasingan berhubung kebenaran kemasukan warga asing yang kritikal untuk menjalani rawatan perubatan di negara ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagaimana yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dua hari lalu, Jagdeep sebagai respons berkata, Kerajaan Negeri akan tetap bertegas terhadap isu keselamatan dan kesihatan warga Pulau Pinang.

“Kita akan tetap bertegas di dalam isu ini, seperti mana yang saya katakan berulang kali sebelum ini bahawa keselamatan kesihatan adalah perkara yang paling penting… kita (Malaysia) telah lakukan yang terbaik sejak 18 Mac lalu dan keadaan semakin baik, sedangkan mengikut trend banyak lagi negara luar yang lebih teruk malah mengalami gelombang kedua.

“Setakat ini, walaupun lapangan terbang dibuka untuk menerima penerbangan antarabangsa, namun ia hanya dibenarkan untuk membawa pulang rakyat Malaysia sahaja termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), ia masih berkuatkuasa kini sehingga diputuskan sebaliknya,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : G. REVATIC