Kerajaan Negeri bakal wujudkan jawatankuasa khas teliti secara holistik akta dan undang-undang berkaitan pengoperasian kerja-kerja tanah, umum Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti secara holistik dan mengetatkan akta-akta sedia ada berkaitan pengoperasian kerja-kerja tanah di Pulau Pinang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika mengadakan sidang media khas bagi menjawab isu pengoperasian kuari haram dekat Teluk Bahang seperti mana yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan sejak 1 Oktober lalu.

Jagdeep berkata, jawatankuasa khas tersebut akan melihat kepada akta sedia ada yang telah dikenal pasti sama ada ianya perlu dibuat pindaan ataupun mewujudkan garis panduan baharu berhubungnya.

“Kita (jawatankuasa) akan melihat kepada kekangan yang ada terutamanya dari segi perundangan… sama ada boleh dicadangkan supaya pindaan dibuat ataupun garis panduan baharu diwujudkan untuk menjadikan tanggungjawab dan tugasan kita untuk mengambil tindakan penguatkuasaan lebih efektif pada masa akan datang.

“Ianya akan menjadi penghalang kepada individu-individu yang ingin melakukan operasi (tanah) sedemikian pada masa hadapan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media bersama-sama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di sini pagi ini.

Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. P.A. Rajendran dan beberapa wakil jabatan negeri dan Persekutuan turut hadir sama.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu jawatankuasa khas berkenaan yang diketuai oleh beliau sendiri akan meneliti dan melakukan semakan semula ke atas tujuh undang-undang dan garis panduan sedia ada.

“Antara undang-undang dan garis panduan yang telah dikenal pasti ialah Akta 172 Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta 127 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Undang-undang Kecil Kerja Tanah 1976 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bnagunan 1974, Kaedah-kaedah Kuari Pulau Pinang 2018 di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Garis Panduan Keselamatan Lereng Bukit Pulau Pinang 2012.

“Kita akan menelitinya secara holistik, dan pengoperasian kerja-kerja tanah ini tidak hanya tertumpu kepada kuari ataupun lereng bukit sahaja, tetapi ia secara komprehensif melibatkan semua kawasan,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa pihak lain yang akan menganggotai jawatankuasa berkenaan adalah kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Terdahulu, sejak 1 Oktober lalu beberapa media tempatan melaporkan bahawa terdapat kuari granit yang beroperasi secara haram dekat Teluk Bahang hingga mengakibatkan kemusnahan alam sekitarnya.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, Rajendran berkata berdasarkan Kaedah-kaedah Kuari Pulau Pinang 2018 di bawah Kanun Tanah Negara yang diwartakan pada 1 Julai 2019, perkara 19 (3) menyatakan bahawa mana-mana pengusaha kuari iaitu kuari yang telah beroperasi sebelum 26 Mei 2010 hanya perlu mengemukakan pelan kerja tanah kepada PBT untuk tujuan kelulusan dan kawalan.

Jelasnya, ekoran tiada pelan kerja tanah dikemukakan untuk kelulusan, pihak MBPP telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu Notis Menghendaki Kerja Tanah Diberhentikan kepada pemunya tanah pada 14 Februari lalu.

“Malah, kita juga telah menjalankan siasatan tapak melalui Ops Bersepadu bersama-sama agensi-agensi dan jabatan teknikal kerajaan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (PTD DBD), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Kesihatan Negeri (PJN) dan Jurukur lantikan Majlis (27 Julai 2019) bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan daripada penyiasatan di tapak, pelan-pelan ukur telah disediakan berserta kertas siasatan dan maklumat-maklumat terkini pemunya tanah telah diperolehi.

“Terbaharu (26 September lalu), satu mesyuarat telah diadakan bersama-sama Penasihat Undang-undang MBPP, Jabatan Penguatkuasaan MBPP, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), JMG, PTD DBD dan Jabatan Parit dan Saliran DBD bagi memutuskan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya di ambil.

“Kita (MBPP) akan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersama di tapak dengan JMG dan PTG yang akan disusuli dengan tindakan pendakwaan tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya,” jelas beliau.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG