Kerajaan Negeri banyak memberi fokus kepada pembangunan modal insan

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 348 pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian insentif kewangan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM240,000 berkaitan adalah sebagai tanda penghargaan dan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.

“Kerajaan Negeri sememangnya banyak memberikan fokus kepada pembangunan modal insan memandangkan negeri Pulau Pinang memerlukan tenaga serta pekerja mahir untuk menjana ekonomi.

“Jadi, selain daripada penghargaan ini, memang banyak lagi insentif atau program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mencungkil bakat dalam pelbagai bidang khususnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Setiap tahun, Kerajaan Negeri telah membelanjakan hampir RM100 juta untuk melaksanakan pelbagai program sosial termasuk bantuan kepada sekolah-sekolah, i-sejahtera, insentif kepada para pelajar dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar pemerlang STPM dan SPM bagi tahun 2022 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah serta Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Pulau Pinang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan berkaitan dengan seramai 688 daripada 19,499 calon SPM tahun 2022 berjaya memperoleh keputusan semua A.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana peratusan pencapaian layak sijil bagi tahun 2022 adalah sebanyak 90.21 peratus iaitu peningkatan sebanyak 4.18 peratus berbanding 86.03 pada tahun 2021.

“Malah, gred purata negeri (GPN) bagi tahun 2022 adalah 4.6 iaitu peningkatan 0.17 berbanding 4.77 pada tahun 2021.

“Saya juga difahamkan bahawa sebanyak 24 sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapat sijil SPM bagi tahun 2022.

“Bagi STPM pula, sebanyak 16 daripada 25 sekolah kerajaan yang berdaftar mencapai keputusan penuh 100 peratus bagi tahun 2022 yang mana seramai 2,007 calon layak mendapat sijil, manakala seramai 73 calon menunjukkan prestasi cemerlang dengan keputusan PNGK 4.00,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa bagi memastikan percambahan modal insan berterusan di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030 sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto Perpaduan 2023.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyalurkan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Bahkan, Kerajaan Negeri berusaha mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40 serta menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan berkenaan yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Mohamad memberitahu bahawa seramai 19 calon SPM tahun 2021 dari Pulau Pinang memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana peratusan pencapaian layak sijil bagi tahun 2022 adalah sebanyak 90.21 peratus iaitu peningkatan sebanyak 4.18 peratus berbanding 86.03 pada tahun 2021 sebelum ini,” katanya.

Menurut Mohamad, seramai 265 pelajar SPM menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi tahun 2022 yang membawa pulang sijil penghargaan dan wang saguhati sebanyak RM500.

Di samping itu beliau memaklumkan bajawa lima pelajar turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik Pelajar Istimewa (Khas) serta wang saguhati sebanyak RM500 manakala Sekolah Terbaik SPM di Pulau Pinang pula menerima RM 6,000.

“Bagi peperiksaan STPM 2022, seramai 73 pelajar berjaya memperoleh keputusan penuh PNGK 4.0 dan layak menerima Sijil Penghargaan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan wang saguhati sebanyak RM1,000.

“Selain itu, seramai 15 pelajar juga akan menerima Anugerah Pelajar Terbaik membabitkan wang saguhati sebanyak RM1,000 manakala lima pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik Pelajar Istimewa (Khas) serta wang saguhati sebanyak RM1,000.

“Sekolah Terbaik STPM di Pulau Pinang turut menerima trofi dan wang saguhati sebanyak RM6,000,” katanya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : MUHAMAD ADIL MUHAMAD