KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM173,523,972.87 bagi menaik taraf dan menyelenggara kesemua 50 skim Rancangan Perumahan Awam Negeri Pulau Pinang, maklum Jagdeep Singh Deo.
Jagdeep yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa berkata, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman dan persekitaran yang selesa dan kondusif sejak mengambil alih pemerintahan negeri pada tahun 2008 hingga 2018.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM31.65 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara Perumahan Awam Padang Tembak sahaja.
“Dan bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.05 juta lagi bagi kerja-kerja naik taraf dan menyelenggara perumahan awam di sini termasuk kerja-kerja pembaikan keretakan tujuh blok bangunan yang bernilai RM1juta.
“Manakala, kerja-kerja lain termasuklah pendawaian elektrik bagi Blok E dan J bernilai RM800,000, penggantian lapisan kalis lembab di bumbung (RM100,000), penurapan simen di kaki lima Blok A dan B (RM50,000) serta menaik taraf bilik sampah (RM100,000) dan jumlah besarnya adalah RM1.05juta,” ujar Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Hadir sama, ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), Ainul Fadhilah Samsudi.
Dalam perkembangan berlainan, Jagdeep turut mengumumkan hasil bagi beratan sampah terkumpul di bawah Dasar Pengasingan Sisa Di Punca sejak dilancarkan pada 1 Jun 2016 hingga Disember 2018 adalah sebanyak 352,669.80 kilogram (kg).
“Dengan jumlah tersebut, hasil yang dikutip adalah bersamaan dengan RM85,234.22… ini secara tidak langsung menunjukkan kesedaran rakyat Pulau Pinang betapa pentingnya untuk setiap lapisan masyarakat melaksanakan pengasingan sisa di punca.
“Dari jumlah tersebut sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 528 kompaun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),” jelasnya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD