BATU UBAN – Penganjuran Program Tunas Niaga (PROTUNe) dilihat mampu menjadi platform dalam membudayakan amalan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai suatu buaya yang diamalkan dan bukannya diceburi sebagai kerja ‘bidan terjun’
“Bidang keusahawanan ini perlu dijadikan budaya, maknanya perlu ada disiplin dan minat yang bersungguh-sungguh untuk menceburinya dan bukan sekadar suka-suka.
“(Dan) inilah yang dilakukan oleh PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) selaku penganjur Program Tunas Niaga atau PROTUNe ini agar nilai-nilai keusahawanan dapat disemai dalam jiwa para pelajar khasnya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Pulau Pinang 2018 dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar PDC, Mohd. Bazid Abd. Kahar; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Abdul Rashid Abdul Samad dan Ketua Unit Kokurikulum JPNPP, Zulkafli Kamaruddin.
Tidak terhenti di peringkat sekolah, Abdul Halim mahu ilmu keusahawanan ini terus dibudayakan dan dipraktikkan oleh golongan belia sebagai suatu kerjaya pilihan.
“Hal ini selari dengan visi Kerajaan Negeri untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan mampu meneroka peluang-peluang baharu.
“Jika seseorang itu berkelulusan doktor perubatan contohnya, jika dia tidak punyai ilmu keusahawanan adalah mustahil untuk dia menguruskan sebuah klinik dengan berjaya.
“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) akan terus menyokong dan menggerakkan program-program berkaitan keusahawanan di negeri ini bagi membolehkan lebih ramai usahawan muda dilahirkan,” ujarnya.
PROTUNe merupakan penjenamaan semula Program Usahawan Muda yang telah dilaksanakan secara berstruktur dengan modul-modul pengajaran dan pembelajaran komprehensif sejak 1998.
Konvensyen kali ini menyaksikan sebanyak 36 buah sekolah seluruh Pulau Pinang menyertai 11 kategori pertandingan.
Anugerah utama, Syarikat Terbaik berjaya digondol oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti dengan membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM1,000.
Tempat kedua diraih oleh SMK Teluk Kumbar dan melayakkan mereka membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM800.
Manakala tempat ketiga pula disandang oleh SMK Tinggi Bukit Mertajam (sijil, trofi dan wang tunai RM700).
Antara anugerah lain yang dipertandingkan adalah Anugerah Laporan Tahunan Terbaik, Prestasi Kewangan Terbaik, Produk Terbaik, Pengurus Terbaik dan Guru Pembimbing Terbaik.
Empat anugerah lain pula,Pengetua Terbaik, Persembahan Terbaik, Syarikat Berpotensi dan Amalan 5S Kiosk PROTUNe Terbaik.
Difahamkan, PROTUNe dianjurkan secara dengan kerjasama JPNPP dan membabitkan lebih 950 pelajar seluruh negeri.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD