Kerajaan Negeri beri tumpuan aspek keselamatan bekalan makanan rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberikan tumpuan terhadap aspek keselamatan makanan dalam memastikan rakyat di negeri ini memperoleh bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata bahawa perkara itu penting seiring dengan peningkatan inflasi di negeri Pulau Pinang iaitu kepada kadar 2.2 peratus pada Mac tahun ini berbanding bulan yang sama tahun lepas.

“Tinjauan Pasaran Komoditi oleh Laporan Bank Dunia juga memberi amaran bahawa kenaikan harga sumber tenaga akan menimbulkan risiko inflasi ketara dalam pasaran dan negara membangun yang mana telah meningkatkan kos input pertanian dengan ketara.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan agar penduduk di Pulau Pinang dapat mendepani cabaran inflasi atau hiperinflasi yang menjadi topik hangat perbincangan penganalisis ekonomi masa ini,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Ketua Pembangkang, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ahli-ahli Exco serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahmad Fuzi menyatakan bahawa walaupun tidak mempunyai tanah pertanian yang luas, Pulau Pinang mampu meningkatkan produktiviti pertanian melalui penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa singkat.

Menurut beliau, penggunaan input pertanian yang menggalakkan pertumbuhan serta aplikasi teknologi moden yang tidak menggunakan tanah sebagai medium tanaman telah menyumbang kepada peningkatan produktiviti tanaman di negeri ini.

Kawalan kehormatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat.

 

“Sebagai contoh, hasil pengeluaran padi yang direkodkan di negeri ini merupakan antara tertinggi dalam negara dan menduduki tempat pertama pada tahun 2020 dengan purata sebanyak 5.214 metrik tan per hektar berbanding 5.012 metrik tan pada 2019.

“Pada tahun ini pula, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menyasarkan purata hasil pengeluaran padi ditingkatkan kepada 6.2 metrik tan per hektar,” jelasnya lanjut.

Selain hasil padi, Ahmad Fuzi memberitahu bahawa Pulau Pinang turut mencatatkan pengeluaran ikan sangkar paling tinggi dalam negara selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2019 iaitu sebanyak 12,039.45 metrik tan dengan nilai RM260.8 juta.

“Bagi memastikan kelestarian sektor pertanian ini, peranan serta penyertaan aktif pihak swasta adalah amat diperlukan terutamanya pertanian berskala besar serta berteknologi tinggi.

“Namun begitu, pelaburan swasta dalam industri agromakanan masih kurang berbanding industri lain seperti perladangan, pembuatan dan perkhidmatan,” ulasnya.

Pada masa sama, Ahmad Fuzi memberitahu bahawa Pulau Pinang diiktiraf sebagai negeri kedua terbaik dalam aspek liputan komunikasi berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di negeri Pulau Pinang pada ketika ini adalah sebanyak 153.5 peratus iaitu melebihi kadar nasional (128.2 peratus).

Menunjukkan tanda bagus usai menyampaikan ucapan perasmian.

“Sementara itu, kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) di negeri ini adalah sebanyak 49.4 peratus yang juga melebihi kadar nasional (41.4 peratus),” jelasnya.

Pada kesempatan itu, Ahmad Fuzi turut menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) kerana mengutamakan agenda kelangsungan hidup rakyat semasa tempoh penularan pandemik COVID-19.

“Pemberian Pakej Bantuan Khas Penang Lawan COVID-19 berjumlah RM176.45 juta adalah untuk mengurangkan beban golongan paling terkesan serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi yang terjejas,” katanya.

Malah, beliau percaya bahawa Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dapat mengurangkan kesan pandemik melalui bantuan jangka masa pendek dan jangka panjang.

“Pelan tindakan ini dirangka untuk membantu penggiat-penggiat insdustri pelancongan agar mereka tidak ketinggalan.

“Malah, langkah ini juga dapat mengurangkan kerugian, mendorong permintaan yang lebih tinggi, meningkatkan ekonomi serta memastikan ketahanan industri pelancongan,” ulasnya.

Beliau dalam pada itu memberitahu bahawa pelaksanaan program kebajikan seperti Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan i-Sejahtera menjadi lambang keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada setiap rakyat di negeri ini.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bergambar bersama-sama semua barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Malah, kejayaan Mutiara Foodbank sejak bermula penubuhannya pada tahun 2017 sememangnya memberikan impak positif kepada rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Pada tahun 2021, sebanyak 250 metrik tan makanan telah diselamatkan dan memberi manfaat kepada 24,962 penerima,” jelasnya.

Terdahulu, Ahmad Fuzi berkenan menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Deputi Supritendan Mohd. Hakim Mohd. Said.

Mengiringi istiadat kawalan kehormatan adalah Pancaragam PDRM Kontinjen Negeri Kedah di pimpinan Sub Inspektor Abdul Rashid Abdullah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS