PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM7.7 juta bagi melaksanakan projek baik pulih cerun di Lorong Bukit Kukus (berhadapan Grand View Heights) yang pernah berlaku runtuhan bongkah batu pada Oktober 2020.
Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, selepas menerima aduan, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah melakukan mitigasi sementara di cerun tersebut.
“Selepas itu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat tinjauan dan mengenalpasti tahap keselamatan cerun sebelum melantik syarikat perunding untuk membuat kajian.
“Rentetan tersebut, Kerajaan Negeri melalui MBPP juga melantik syarikat Jurutera Geoteknikal dan Ukur Bahan bertauliah untuk sekali lagi membuat tinjauan dan mendapati kerja-kerja mitigasi kekal perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang,” ujar Zairil ketika dalam sidang media ketika melakukan lawatan tapak di sini pagi tadi.
Hadir sama, Jurutera Geoteknikal Cerun MBPP, Mohd. Hanafi Mohd. Yaacob.
Mengulas lanjut, Zairil memberitahu, daripada RM7.7 juta, kos pembinaan dianggarkan bernilai RM6.8 juta dan RM893,000 adalah kos perunding melakukan kajian reka bentuk dan lain-lain.
Difahamkan pada 27 April lalu, Megabina Industries Sdn. Bhd. telah berjaya membida projek berkaitan.
Mohd. Hanafi dalam sidang media sama memberitahu skop-skop kerja merangkumi rook bolt, rock fall netting, soil nailing, gun knitting, perparitan, pemasangan pagar dan penurapan semula jalan raya
“Dianggarkan kerja-kerja sepanjang 400 meter ini akan dimulakan pada 15 Mei ini dan dijangka siap pada November 2024,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD