Kerajaan Negeri biayai RMM demi ringankan beban rakyat- Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa peka terhadap isu pemilikan rumah untuk rakyat negeri ini terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana rendah (M40).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata sehingga kini beberapa langkah proaktif telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Pulau Pinang dapat memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran penyediaan sebanyak 220,000 unit rumah mampu millik (RMM) menjelang 2030 di bawah Visi Penang2030 yang bakal menjamin peluang setiap rakyat memiliki kediaman mampu milik mereka sendiri.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah menetapkan harga maksimum bagi rumah kos rendah (RMM A) dikekalkan pada kadar RM42,000 manakala rumah kos sederhana rendah (RMM B) pada harga RM72,500.

“Rumah kos sederhana (RMM C) bagi kawasan Pulau pula pada harga RM300,000 dan di kawasan Seberang Perai (RM250,000),” jelasnya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Uundangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Di samping itu, Sundarajoo turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri komited meringankan beban rakyat yang sukar untuk mendapatkan pembiayaan perumahan.

“Sasaran penyediaan sebanyak 10 peratus atau bersamaan 22,000 unit RMM untuk ditawarkan secara sewa beli (RTO) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang tidak memerlukan bantuan pembiayaan kewangan daripada pihak bank.

“Pemohon yang layak hanya perlu membayar satu bulan bayaran semasa termasuk satu bulan bayaran penyelenggaraan, dua bulan deposit sewa serta cagaran utitiliti sebanyak RM880 (RMM A) dan RM1,440 (RMM B).

“Justeru, pemohon yang berjaya ditawarkan skim RTO hanya perlu membayar secara bulanan di antara RM140 hingga RM360 bagi tempoh 15 sehingga 20 tahun,” ulasnya lanjut.

Tambah Sundarajoo, pemohon rumah mampu milik melalui Sistem Maklumat Perumahan (SMP) yang tidak mengemas kini maklumat akan bertaraf tidak aktif.

“Sebanyak 43,154 permohonan senarai menunggu dan hanya 7,811 daripadanya merupakan pemohon yang telah mengambil tindakan mengemas kini permohonan dan bertaraf aktif (pengemaskinian kurang daripada 3 tahun).

“Bagi pemohon yang tidak mengemas kini maklumat dalam SMP bagi tiga tahun terakhir, nama pemohon kekal tidak aktif,” ujarnya yang juga ADUN Perai.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN