GEORGE TOWN – Atas usahasama Persatuan Kebajikan, Kemajuan & Ikatan Wanita Pulau Pinang (PEMAJUNITA) dengan pusat beli belah 1st Avenue, 15 usahawan wanita B40 di beri peluang untuk berniaga sempena Ramadan.
Dinamakan sebagai Ihya Bazar Ramadan, bazar yang terletak di tingkat 4, 1st Avenue itu dirasmikan oleh Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain baru-baru ini.
Dalam memperkasakan penganjuran Ihya Bazar Ramadan di masa akan datang, Abdul Halim mencadangkan agar PEMAJUNITA mendaftarkan program tersebut di bawah Souq Ramadan.
“Melalui Souq Ramadan, Kerajaan Negeri akan bantu untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang berdaftar serta mengambil bahagian dibawahnya.
“Jadi sekiranya orang ramai cari di bawah penjenamaan Souq Ramadan ini… mereka akan jumpa perniagaan-perniagaan yang berdaftar melaluinya.
“Bagi tahun hadapan, kita (Kerajaan Negeri) bercadang untuk mewujudkan aplikasi pintar Souq Ramadan agar lebih memudahkan orang ramai mencari produk dan perkhidmatan yang terdapat di Pulau Pinang dengan hanya menggunakan telefon pintar,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Turut hadir, Pengerusi PEMAJUNITA, Latifah Ibrahim.
Pada kesempatan sama, Abdul Halim turut meluangkan masa melawat dan membeli belah di bazaar yang beroperasi sehingga 2 Jun 2019itu.
Antara barangan dijual termasuklah produk makanan dan minuman, pakaian, kosmetik, barangan kesihatan, spa dan lain-lain.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI