Kerajaan Negeri catat perbelanjaan surplus, optimis tingkat kutipan hasil tahun ini – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 11.05.20

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencatatkan lebihan kewangan sebenar (surplus) sebanyak RM28.66 juta ekoran hasil sebenar negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM342.60 juta, melebihi perbelanjaan sebenar RM313.95 juta sehingga 29 Mei 2024.

Ketua Menteri, Y A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan unjuran defisit Kerajaan Negeri yang dikatakan semakin melebar saban tahun.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan strategi pengurangan unjuran defisit negeri daripada RM1.047 bilion kepada RM863.10 juta.

“Strategi ini merupakan langkah kawalan dalaman yang diambil oleh Kerajaan Negeri demi kelangsungan fiskal negeri.

“Sekiranya jabatan, agensi, badan berkanun dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dapat mematuhi disiplin penjajaran ke atas perbelanjaan tahun 2024, Kerajaan Negeri optimis strategi ini mampu mengeluarkan Kerajaan Negeri daripada mengalami defisit sebenar pada akhir tahun ini,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga bersedia mempertimbangkan alternatif bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Antara bentuk bantuan yang ditawarkan oleh MOF adalah pemberian pendahuluan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan jumlah defisit sebenar negeri pada tahun sebelumnya.

“Alternatif lain adalah melalui permohonan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang mana kaedah ini lebih sesuai bagi pelaksanaan projek-projek berskala besar dan projek yang memberi impak kepada rakyat,” ulasnya.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut melihat kemungkinan untuk melaksanakan projek-projek kecil yang telah dibajetkan di bawah bajet pembangunan Kerajaan Negeri untuk mengguna pakai peruntukan daripada Kementerian Ekonomi.

“Di samping itu, kerjasama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang perlu diperkukuhkan agar manfaat pelaksanaan program dan projek ke atas rakyat Pulau Pinang dapat diselaraskan.

“Langkah ini juga adalah bagi memastikan tiada pertindihan perbelanjaan bagi maksud dan tujuan yang sama,” katanya sambil menambah bahawa Kerajaan Negeri optimis masih dapat berdikari secara positif dengan komitmen dan kepercayaan daripada semua pihak.

Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri merekodkan jumlah rizab berjumlah RM1.97 bilion pada tahun 2018 dengan Hasil Bukan Cukai yang berjaya dikutip berjumlah RM3.15 bilion.

“Namun, sejak tahun 2019 hingga 2023, hasil Kerajaan Negeri mula menurun dan Hasil Bukan Cukai yang dikutip untuk tempoh lima tahun ini pula hanya RM1.72 bilion sahaja.

“Jumlah hasil Kerajaan Negeri tidak meningkat dengan drastik berikutan semua perancangan Kerajaan Negeri masih belum matang untuk menuai hasilnya.

“Tambahan pula, jumlah perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Negeri menunjukkan trend meningkat dengan RM581.31 juta pada tahun 2019, RM734.06 (2020), RM730.90 juta (2021), RM755.02 juta (2022) dan RM951.75 juta pada tahun 2023,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri berdepan detik-detik sukar seperti peristiwa bencana banjir besar tahun 2017 yang disusuli dengan pengumuman pelaksanaan lapan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos sebenar sebanyak RM169.45 juta.

“Kerajaan Negeri juga diuji dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021 di mana sejumlah RM158.14 juta telah dibelanjakan melalui Pakej Bantuan Khas Penang Lawan COVID-19 untuk membantu rakyat yang terkesan.

“Malah, Program Kebajikan i-Sejahtera yang bermula pada tahun 2010 dengan peruntukan sebanyak RM12.49 juta juga telah meningkat kepada RM56.21 juta pada tahun 2023 yang memberikan kesan kepada kedudukan kewangan negeri,” katanya.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri yakin dapat meningkatkan kutipan hasil tahun 2024 dengan lebih baik berbanding tahun lepas.

“Dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, Kerajaan Negeri percaya prestasi kewangan negeri akan lebih baik pada tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Kon Yeow memberitahu bahawa sebanyak RM335.81 juta hasil berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri sehingga 27 Mei 2024.

“Kutipan hasil ini merangkumi RM111.33 juta bagi hasil cukai, hasil bukan cukai (RM181.33 juta) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM43.15 juta.

“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) juga berjaya melaksanakan beberapa projek bersama syarikat swasta (PPP) dengan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM315.9 juta bagi tahun 2023 hingga 2024.

“Sumber hasil pula adalah melalui pajakan dan sewaan tanah untuk pelbagai tujuan secara tahunan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Tambah Kon Yeow, CMI akan menguruskan pembidaan secara Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi projek Gurney Bay melalui dua plot tanah seluas 15 ekar yang sedang ditambak.

“Kerajaan Negeri dijangka akan menerima anggaran hasil pada tahun 2024 sebanyak RM420 juta daripada bayaran premium tanah, bayaran cukai dan bukan cukai tanah dan hasil pajakan dan sewaan CMI.

“Penjualan tanah Gurney di Waterbody A dan B, caj-caj permohonan PlanMalaysia@Pulau Pinang, bayaran sumbangan pematuhan 30 peratus LMC mengikut Kempen Pemilikan Rumah 3.0 (HOC 3.0) dan anggaran serahan tanah atau hasil bagi projek tebus guna tanah di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut menyumbang kepada kutipan hasil Kerajaan Negeri,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI