Kerajaan Negeri ceriakan rumah pangsa ‘tertua’ Taman Tun Sardon

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN LILIAN & AHMAD ADIL MUHAMAD

SERI DELIMA – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyatakan bahawa peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1 juta digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja mengecat semula bangunan rumah-rumah pangsa di kawasan Taman Tun Sardon di sini baru-baru ini.

Beliau mengumumkan perkara tersebut ketika mengadakan lawatan ke rumah pangsa kos rendah di Taman Tun Sardon di sini.

Kata Jagdeep, bagi menangani masalah 26 blok rumah-rumah pangsa di Taman Tun Sardon, Kerajaan Negeri melalui Tabung Peruntukan  Pembangunan telah menyediakan RM1 juta bagi menjalankan kerja-kerja mengecat semula di sini.

“Rumah-rumah pangsa di sini kebanyakannya telah lama dan usang, malah rumah pangsa kos rendah di Taman Tun Sardon ini adalah yang ‘tertua’ iaitu sejak 1969 lagi.

“Oleh demikian, atas dasar keprihatinan dan ambil peduli keperluan utama rakyat, Kerajaan Negeri akan memastikan penduduk di rumah-rumah pangsa di sini dapat hidup dengan ceria dan selesa.

“Kerja-kerja mengecat semula bakal mengambil masa sekurangkurangnya enam bulan bermula Mei lalu,” katanya dalam sidang media di lokasi di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan melalui Tabung Peruntukan Pembangunan bagi kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah di negeri ini bagi pembaikan tangki air, lif dan cat.

Permohonan peruntukan berkenaan boleh dibuat menerusi ADUN kawasan masing-masing.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sejumlah RM770,000 sejak tahun 2011 bagi kerja-kerja penebangan pokok-pokok liar yang melata di bangunan kediaman, pembersihan  dan pembaikan rumah pam serta kebocoran di sini.

“Inisiatif yang kita (Kerajaan Negeri) lakukan ini membuktikan bahawa kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah meminggirkan atau mengabaikan mana-mana pihak kerana pemilihan dibuat atas dasar keperluan sebenar rakyat,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, penduduk, SAIFUL AZINY, 29, yang telah 19 tahun menetap di Blok C, rumah pangsa kos rendah Taman Tun Sardon, menyambut baik pengumuman itu.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk mengecat semula kesemua 26 unit blok rumah pangsa amat baik.

“Baguslah, dulu tiada seorang pun wakil-wakil rakyat nak mai melawat tengok keadaan kami di sini.

“Paip karat, pam air bocor, cat mengelupas semua kami selesaikan sendiri. Sekarang ni nampak perubahan dan kesungguhan Kerajaan Negeri nak tolong rakyat, terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga merupakan peniaga makanan sepenuh masa di gerai hadapan bloknya.

Bagi pesara, ATIAH MD. YUSOFF, 69, beliau bersyukur dengan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri. Selain mengecat semula, jelasnya,  penyelenggaraan semula turut dilaksanakan termasuk penyelenggaraan tangki air, lampu koridor dan gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan.

“Walaupun makcik cuma menyewa di sini, tapi dalam tempoh 10 tahun lepas, memang beza dengan sekarang.

“Selain cat semula blok, kemudahan asas di sekitar Taman Tun Sardon ini juga diperbaiki,” katanya yang menetap di Blok C bersama-sama anak menantu dan cucunya.

Turut melahirkan rasa gembira adalah ANEEZ SOBRI, 29, penghuni di Blok E kerana akhirnya impian serta harapan penghuni di rumah pangsa di Taman Tun Sardon untuk melihat kediaman dicat seperti baru, kini tercapai.

“Kami sudah lama mahu blok-blok di sini dicat semula. Sebelum inipun, banyak perubahan lain dilakukan antaranya mewujudkan kotak-kotak parkir, mencantikkan semula kawasan gerai perniagaan di sini dan juga taman permainan yang lebih ceria.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak memungkiri janji yang dibuat untuk rakyat terutama kami yang tinggal di rumah pangsa kos rendah,” ujar beliau sambil tersenyum.