Kerajaan Negeri dan CZC tandatangani Supplemental Agreement Pakej 2, mula pembinaan 1 Februari

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) hari ini menandatangani perjanjian tambahan (supplemental agreement) kepada sub-agreement bagi Pakej 2 Jalan Pintasan Dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam.

Pemeteraian tersebut dilihat sebagai satu tonggak pencapaian penting dalam usaha meneruskan pelaksanaan Projek Tiga Jalan-Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut bagi menguraikan trafik serta kesesakan jalan raya di samping bertindak sebagai satu kaedah penyelesaian jangka masa panjang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Dengan pemeteraian supplemental agreement Pakej 2 ini, pihak CZC akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada 1 Februari 2021 dan pelaksanaan pembinaan jalan pintasan (bypass) berkaitan dijangka siap pada 3 Januari 2025 yang mana ia akan memanfaatkan penduduk Pulau Pinang daripada segi pengurangan tempoh masa perjalanan,” ujarnya pada majlis berkenaan di Komtar sebentar tadi.

Terdahulu, Kon Yeow mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menandatangani Supplemental Agreement to The Sub-Agreement dengan syarikat konsensi Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) selaku kontraktor berwajib yang diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Dato’ Dr. Khor Eng Chuen.

Pemeteraian perjanjian tersebut berlangsung di hadapan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Ahli Lembaga Pengarah CZC, Datuk Lee Chee Hoe sambil disaksikan oleh Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin secara dalam talian.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari (Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang); Dato’ Norazmi Mohd. Narawi (Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang); Dato’ Seri Farizan Darus (Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd.) dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah CZC yang terdiri daripada Puan Sri Ginney Chew dan Chiok Kian Chau.

CZC merupakan kontraktor utama bagi Projek Pakej 2 yang akan diketuai oleh Tunku Shazuddin selaku Pengerusi Syarikat ECK Development Sdn. Bhd. bersama-sama barisan Ahli Lembaga Pengarah CZC lain.

Sebagai makluman, Projek Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut adalah merangkumi tiga (3) komponen jalan-jalan utama tanpa tol serta satu komponen projek terowong dasar laut link ketiga bertol seperti perincian berikut:

i) Pakej 1 – Jalan Berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang;
ii) Pakej 2 – Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam;
iii) Pakej 3 – Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Georgetown (Persiaran Gurney); dan
iv) Pakej 4 – Link Ketiga (Terowong Dasar Laut) di Pulau
Pinang

Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri memutuskan untuk melaksanakan projek Pakej 2 terlebih dahulu. Projek Pakej 2, iaitu Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam dengan jarak sepanjang 6 kilometer (km) merupakan projek pertama dimulakan di bawah PTMP yang mana majlis pecah tanah (ground breaking ceremony) telah diadakan pada 2 November 2019. Master Agreement bagi Projek Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut telah ditandatangani pada 2 Ogos 2019 dan diikuti dengan pemeteraian Sub-Agreement Pakej 2 pada 11 Oktober 2019.

Jajaran Pakej 2 berkaitan bakal menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di kawasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu. Jajaran tersebut adalah merangkumi 4.2km elevated section dan 1.8 km at-grade section.

Malah, ia juga merangkumi tiga (3) persimpangan (interchange) iaitu Interchange 1 (di Lebuhraya Thean Teik), Interchange 2 (Jalan Bukit Gambir – Jalan Sultan Azlan Shah) dan Interchange 3 (di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang melibatkan persimpangan Left In-Left Out dan U-Turn bertingkat).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD