GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengaplikasian teknologi ‘remote sensing’ angkasa dan lain-lain teknologi berkaitan antaranya, Geographical Information System (GIS) dan Information Communication Technology (ICT) di negeri Pulau Pinang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar sendiri memeterai MoU tersebut bagi pihak Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria.
Manakala, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diwakili oleh Ketua Pengarah Agensi Angka Malaysia (MYSA), Geo Specialist Azlikamil Napiah serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MYSA, Adnan Ismail.
Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap MoU tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membangun dan mengoperasikan sistem aplikasi serta pangkalan data bagi tujuan perancangan, pengurusan dan pemantauan projek serta aktiviti pembangunan di Pulau Pinang secara lebih efektif dan berskala besar pada masa hadapan.
“Seperti yang diketahui umum, MYSA adalah agensi yang menjalankan kajian dan pembangunan aplikasi teknologi angkasa, khususnya pembangunan sistem atau aplikasi berteraskan teknologi ‘remote sensing’ (penderiaan jauh) angkasa serta teknologi-teknologi lain.
“Ia adalah untuk kegunaan agensi kerajaan dalam kerja perancangan dan pengurusan membabitkan pelbagai bidang seperti pertanian dan perikanan, sumber asli dan alam sekitar, bencana, kesihatan persekitaran, pembangunan tanah, penilaian dan pengurusan hartanah, pengauditan alam sekitar dan pembangunan fizikal, keselamatan serta pertahanan negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di sini pada 11 Mei 2023.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya berharap MoU yang baru dimeteraikan itu akan mewujudkan kerjasama lebih erat kepada kedua-dua pihak termasuk membangun serta menyelenggara sistem aplikasi tersebut, menyediakan perkhidmatan berteraskan teknologi angkasa, memberi latihan penggunaan sistem aplikasi tersebut dan banyak lagi.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi; Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis bersejarah tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT