GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlibat dalam penerbitan dan pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sendiri tidak tahu kewujudan buku komik tersebut memandangkan ia diterbitkan oleh entiti bebas.
Kerajaan Negeri tidak ada kaitan dan tidak tahu wujud pun buku komik ini kerana ia (diterbitkan oleh) suatu entiti bebas.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak tahu apa-apa tentang komik ini kerana kita tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium ini,” ujarnya kepada pemberita sejurus menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Fusionex, pakar teknologi data tempatan di sini tengah hari tadi.
Tegas Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, pihak muzium juga tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti berkenaan.
“Muzium Kebudayaan Komik Asia ini berada di Bangunan Komtar dan sejak beberapa tahun lalu Kerajaan Negeri memberi peruntukan bagi membiayai ruang sewaan sahaja di ICT Mall @Komtar kerana kita (Kerajaan Negeri) menganggap ia sebahagian produk pelancongan.
“(Dan) sebagai balasan, pihak muzium memberikan tiket kemasukan untuk diedarkan kepada hotel-hotel, sekolah-sekolah dan sebagainya untuk mengunjungi muzium ini,” jelasnya yang menafikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai penerbitan buku komik berkaitan.
Ditanya mengenai dakwaan buku komik tersebut akan diedarkan di sekolah-sekolah, Kon Yeow meminta supaya soalan itu diajukan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.