Kerajaan Negeri disyor bangunkan sukan tradisional India

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang disyor menyediakan peruntukan untuk penganjuran sukan kebudayaan komuniti India di negeri ini.

Pengerusi Koperasi Kemajuan Bersama Bukit Mertajam, R. Arikrisnan berkata demikian dalam majlis kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya dekat Komtar pada 26 Oktober 2018.

“Bangunkan sukan tradisional masyarakat India Malaysia untuk golongan belia, seterusnya ke peringkat sekolah seperti di beberapa negeri lain.

“Contohnya seperti acara Kabbadi, sudah dimasukkan sebagai sukan pilihan dalam (temasya dwi tahunan) SUKMA (Sukan Malaysia),” jelas beliau.

Hadir sama, Naib Pengersi Persatuan Koperasi, Narayanan serta Setiausahanya Murugan.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit, pertubuhan koperasi turut mengemukakan beberapa cadangan ‘program sokongan’ untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, demi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) terutama dalam kalangan etnik India sendiri.

“Perlu ada program sokongan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia ataupun Tabung Pinjaman Harapan Pulau Pinang, khusus untuk membantu masyarakat India yang berpendapatan rendah, memulakan perniagaan,” ujar Arikrisnan sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow yang dipilih sebagai Ketua Menteri ke-5 Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI