Kerajaan Negeri disyor tempatkan produk PKS di PIA, perkasa kempen Beli Barangan Pulau Pinang – Saifuddin

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disyor untuk memperkasakan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menempatkan barangan buatan usahawan tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan statistik, pengguna PIA kini mencecah hampir sembilan juta, beliau percaya kekuatan ini dapat diguna untuk memperkasakan jualan barangan PKS tempatan melalui kempen ‘Beli Barangan Pulau Pinang’.

“Saya ingin mencadangkan agar pihak Kerajaan Negeri melalui pihak berwajib agar memperkasakan industri PKS negeri dengan membantu pemain-pemain industri PKS ini menempatkan produk dan barangan mereka di kiosk dan premis Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan, saya percaya inisiatif ini mampu melonjakkan ekonomi negeri sekaligus memperkenalkan kempen Beli Barangan Pulau Pinang,” ujarnya ketika sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 yang berlangsung hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu bahawa melalui perbincangan yang diadakan bersama-sama pihak MAB, beliau dimaklumkan bahawa pihak berkaitan (MAB) telah memulakan dua projek perintis non aero di beberapa lapangan terbang terpilih dengan memperkenalkan sudut khas ‘Himpun’ dan ‘Kuih Kita’ bagi memperkenalkan barangan PKS tempatan.

“Saya difahamkan MAB komited untuk memperluaskan inisiatif ini ke lapangan terbang lain dan saya rasa PIA adalah lokasi terbaik.

“Ini adalah satu peluang untuk melonjakkan produk PKS, sebab industri PKS Pulau Pinang mempunyai pelbagai produk menarik terutamanya sektor makanan dan minuman… yang penting produk-produk ini mestilah dijual dengan harga yang kompetitif, diubah suai ikut format lapangan terbang dan mengikut kesesuaian,” ujarnya lanjut sambil mendedahkan bahawa kira-kira 100 juta pengguna mengunjungi 39 lapangan terbang seluruh negara dan nilai hasil jualan setiap premis di lapangan terbang mencecah jutaan ringgit setiap bulan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG