GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yakin saban tahun rakyat dapat melihat usaha-usaha gigih Kerajaan Negeri membangunkan sektor sukan terutamanya melibatkan kelengkapan fasiliti.
Menurut beliau, sukan bola sepak tidak terkecuali daripada menerima sokongan daripada Kerajaan Negeri yang menyifatkannya sebagai sukan rakyat dan mendapat perhatian ramai.
“Pihak Kerajaan Negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini terpanggil untuk menyokong aktiviti bola sepak dengan memberi sokongan kepada Penang FC, Penang FA dan kelab-kelab lain di negeri Pulau Pinang memandangkan ia adalah kegemaran rakyat kita.
“Sebab itulah kita (Kerajaan Negeri) perlu memberi sokongan dengan peruntukan-peruntukan yang agak besar.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melihat kepada pembangunan infrastruktur sukan di negeri ini, namun kita pun hadapi kekangan sumber peruntukan maka kita cuma dapat lakukan (pembangunan) sedikit demi sedikit setiap tahun agar ia dapat disempurnakan untuk digunakan oleh komuniti termasuk penganjuran pertandingan,” ujarnya ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️ PENANG buat julung kalinya dekat Padang Polo di sini pagi tadi.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Timbalan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-kawan (KSRKK), Mohamed Irfan Sikkandar Shah.
Pada penganjuran berkaitan, kejohanan tersebut berjaya memperoleh 32 penyertaan dari Pulau Pinang termasuk negeri Kedah dan Perak.
Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merakamkan jutaan terima kasih kepada KSRKK kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan kejohanan berkaitan.
“Saya berharap dengan pembangunan berterusan, Pulau Pinang mampu melahirkan pemain-pemain yang hebat seperti Ali Bakar, Dato’ Namat Abdullah, Dato’ M. Kuppan, Pang Siang Hock, Shukor Salleh dan pemenang Anugerah FIFA Puskas 2016, Faiz Subri yang seterusnya dapat menjadi ilham kepada barisan pemain muda ketika ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN